Menelusuri sejarah, semasa di era pemerintahan Siam dan Inggeris, hal ehwal Agama Islam di Negeri Perlis ditadbir oleh Raja Pemerintah yang diangkat darjat sebagai Ketua Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis. Rentetan itu, DYMM Tuanku Al-Marhum Syed Alwiibni Almarhum Syed Safi Jamalullail telah menubuhkan Majlis Agama Islam Perlis pada tahun 1920. Setelah Perlis menyertai Persekutuan Tanah Melayu pada 12 Januari 1948, telah ditubuhkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) pada 1 Februari 1948 (Jabatan Perdana Menteri, 2013)
Penubuhan MAIPs adalah selari dengan perkenan DYMM Tuanku Al-Marhum Syed Putra Ibni Al-Marhum Syed Hassan Jamalullail, Raja Perlis ke-6 yang telah mengurniakan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis pada tanggal 1 Februari 1948. DYMM Tuanku Al-Marhum Syed Putra Jamalullail telah mengasaskan perlembagaan Negeri Perlis yang pertama melalui Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis yang dianggap sebagai dokumen bertulis buat julung-julung kalinya bagi Kerajaan Perlis (Hazman Hassan et al., 2014
Pungutan Zakat dan Fitrah Negeri Perlis telah diasaskan oleh DYTM Al Marhum Tuanku Syed Alwi Ibni Al marhum Tuanku Syed Saffi Jamalulail Raja Negeri Perlis. Hal ini bermula dengan kutipan zakat padi dan diikuti pula dengan zakat fitrah yang dikutip secara rasmi di bawah MAIPs dari seluruh umat Islam di negeri Perlis di era DYMM Tuanku Al-Marhum Syed Putra Ibni Al-Marhum Syed Hassan Jamalullail pada 1 Ramadhan 1382 bersamaan 27 Januari 1963 (Majlis Agama Islam Perlis 14 Mei 2015).
Setelah 15 tahun memainkan peranan dalam mengendalikan hal ehwal Islam di negeri Perlis bermula tahun 1948, pada tahun 1963, telah dibuat satu pindaan terhadap Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam No. 3 yang telah diluluskan untuk meletakkan Baitulmal sebagai satu badan yang berfungsi bagi membangunkan ekonomi umat Islam. Fungsinya telah dilaksanakan setahun selepas itu iaitu melalui peruntukan Undang-Undang Negeri Perlis, Fasa 4, Enakmen Pantadbiran Agama Islam Bil.3/1964. Pindaan ini telah mengangkat kedudukan MAIPs untuk bergerak dengan lebih efisien dan memikul tanggungjawab besar dalam merealisasikan agenda pembangunan sosio ekonomi umat Islam khususnya di Negeri Perlis (Majlis Agama Islam Perlis, 2011).
Bagi melaksanakan pengurusan zakat di Negeri Perlis, Pejabat Zakat Negeri Perlis ditubuhkan. Pejabat ini telah ditempatkan di Pejabat Pemeriksa Kira-kira Negeri Perlis. Lokasi Pejabat Zakat Negeri Perlis kemudiannya dipindahkan ke Pejabat Bandaran dan di Sekolah Menengah Derma sehingga tahun 1964. Pejabat Zakat Negeri Perlis kemudian disatukan dengan Pejabat Agama Islam Perlis dan dinamakan sebagai Jawatankuasa Zakat dan Fitrah .
Pada tahun 1995, Pejabat Zakat Negeri Perlis dinamakan sebagai Baitulmal Negeri Perlis dan diletakkan di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta dipindahkan ke Kompleks Islam Perlis di Persiaran Jubli Emas Kangar. Pengasingan ini adalah selari dengan penstrukturan MAIPs dan Jabatan hal Ehwal Agama Islam Perlis yang diasingkan dari MAIPs pada tahun 1986 (Siti Fatimah Sudin et al., 2014). Pada ketika itu, Baitulmal Negeri Perlis diterajui oleh seorang. Pengarah yang bertanggungjawab kepada Pengerusi Baitulmal yang akan mengangkat keputusan berkaitan kepada Mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis yang dipengerusikan oleh Tuanku Yang Di Pertua MAIPs.
Sejajar dengan perubahan persekitaran global yang berhadapan dengan pelbagai cabaran monumental yang menuntut kepada perubahan, MAIPs optimis untuk mengalami proses transformasi. DYTM Tuanku Raja Muda Perlis selaku Yang DiPertua MAIPs, menghasratkan MAIPs untuk melaksanakan transformasi secara holistik bermula Jun tahun 2011. Bagi merealisasikan hasrat murni ini, Baginda Tuanku telah meminta pihak Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Jabatan Perdana Menteri, untuk mengenalpasti kaedah dan mekanisme terbaik ke arah melaksanakan transformasi MAIPs. Transformasi MAIPs secara berfasa, diperkuat dengan gagasan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) sebagai pemacu transformasi ummah yang dijulang di dalam Kongres MAIN Seluruh Malaysia Kali Pertama pada 26 dan 27 September 2011 (Majlis Agama Islam Perlis,14 Mei 2015).
Ekoran itu, MAIPs telah melantik seorang Ketua Pegawai Eksekutif yang menerajui pengurusan MAIPs dan bertindak sebagai Setiausaha Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis yang sebelum ini dilaksanakan oleh Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis. Pengasingan ini adalah bertepatan dengan kehendak peruntukan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perlis Tahun 2006, Seksyen 16 (Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perlis, 2006).
MAIPs telah mewujudkan dua Bahagian utama iaitu Bahagian Khidmat Pengurusan yang menguruskan hal ehwal pentadbiran, kewangan, dan ICT serta Bahagian Baitulmal yang menguruskan hal ehwal pengurusan Zakat, Wakaf, Sumber Am dan Pembangunan & Pelaburan MAIPs. Penubuhan bahagian dan unit ini adalah selari dengan cadangan transformasi penstrukturan semula MAIPs oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Jabatan Perdana Menteri (Jabatan Perdana Menteri, 2013).
Penubuhan Bahagian dan Unit di bawah MAIPs adalah seperti berikut :
i. Bahagian Khidmat Pengurusan
Bahagian ini dibahagikan kepada 4 Unit Utama iaitu :
- - Unit Pentadbiran
- - Unit Kewangan
ii. Unit Teknologi Maklumat
- - Unit Kemajuan Islam
- - Bahagian Baitulmal
iii. Bahagian ini dibahagikan kepada 4 Unit Utama iaitu :
- Unit Zakat
- Unit Wakaf dan Sumber Am
iv. Unit Pembangunan dan Pelaburan
- Unit Sosio-Ekonomi
MAIPs tidak menubuhkan entiti berasingan bagi melaksanakan peranan pengurusan zakat, wakaf dan sumber am seperti yang diamalkan di kebanyakan negeri lain di Malaysia. Perkara ini menjadikan MAIPs dilihat unik dalam memainkan peranannya di dalam pengurusan wakat, wakaf dan sumber am.
Seiring keperluan terkini, MAIPs telah sekali lagi membuat penambah baikan sturuktur organisasi pada tahun 2016. MAIPs telah diperkemaskan dengan mewujudkan 3 Bahagian Utama seperti berikut :
i. Bahagian Khidmat Pengurusan & Keurusetiaan
Bahagian ini dibahagikan kepada 4 Unit iaitu :
- Unit Pentadbiran
- Unit Kewangan
ii. Unit Teknologi Maklumat
- Unit Keurusetiaan
- Bahagian Pengurusan Zakat
iii. Bahagian ini dibahagikan kepada 3 Unit iaitu :
iv. Taman Desa Asnaf
- Bahagian Pembangunan Wakaf dan Hartanah Mal
Bahagian ini dibahagikan kepada 4 Unit iaitu :
- Unit Pembangunan dan Hartanah
- Unit Wakaf dan Sumber Am
v. MAIPs Holdings Sdn Bhd
vi. KUIPs Sdn Bhd
Pemantapan tadbir urus MAIPs, akan terus dilestarikan, sejajar dengan pelan hala tuju MAIPs 2015-2020. Pihak Pengurusan telah menetapkan perubahan transformasi MAIPs berdasarkan 5 fasa berikut :
Melestari Transformasi Memantapkan Transformasi Membina Asas Kemajuan Menjana Kemajuan Menjulang Kemajuan
|
2015 2016 2017 2018 2019 & 2020
|
Beberapa inisiatif telah dicadangkan untuk mencapai hala tuju yang telah ditetapkan.