MAIPs STAFF MENU
Please click Log in button above to enter MAIPs staff menu section.
KANGAR 13 Ogos - Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyarankan agar para pakar dalam bidang terbabit di negara ini melaksanakam satu semakan dan kajian bagi meneliti reka bentuk atap dan rumah yang benar-benar sesuai di negara ini bagi mengurangkan risiko apabila menghadapi sebaran bencana yang kerap dihadapi seperti angin ribut dan banjir.
Aspek reka bentuk bangunan yang tahan dan kondusif termasuk tidak terlalu mudah untuk bocor wajar diberikan perhatian dalam pembinaan rumah-rumah baru di masa hadapan dan pada masa yang sama menambahah baik apa yang sudah sedia ada sebelum ini.
Pada kesempatan yang sama baginda turut menasihati agar mangsa-mangsa ribut yang telah membuat laporan polis memaklumkan kepada pemimpin setempat seperti amil, imam dan MPKK agar penyelarasan dapat dibuat oleh kumpulan lawatan hasil daripada kolaborasi pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bersama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Perlis serta para sukarelawan yang membantu.
Demikian titah baginda sejurus berangkat tiba di Perlis dari Switzerland telah terus berkenan berangkat menyantuni mangsa-mangsa ribut di beberapa buah rumah di sekitar Kg Behor Inai, Kg Peseri Titi Teras dan Kg Abi Kubang Badak.
Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda sulung, Puteri Sharifah Khatreena Nuraniah.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.
Turut hadir ialah Mufti Perlis, Datuk Arif Perkasa Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) Dr Hazman Hassan.
Menyentuh mengenai sambutan Hari Raya Aidil Adha pada tahun ini pula, Tuanku Syed Faizuddin Putra mengingatkan umat Islam supaya sentiasa menghayati erti di sebalik ibadah korban yang dilakukan yang mendidik kita untuk berkongsi kelebihan yang ada bersama mereka yang kurang berada.
Begitulah juga semangat ingin membantu sesama manusia selain memupuk rasa simpati dan toleransi di kalangan anggota masyarakat.
Sementara itu, Mohd Nazim memaklumkan bahawa pihak MAIPs dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perlis telah membuat penyelarasan bantuan bagi membuat pemantauan dan taksiran bantuan kepada mangsa-mangsa yang terlibat.
Dianggarkan 800 mangsa yabg terlibat dan sehingga ke petang semalam sebanyak 500 buah rumah telahpun dilawati.
Tambah beliau lagi, MAIPs dan JKM Negeri Perlis sentiasa komited untuk mempertingkatkan lagi kecekapan tindakan ketika menangani isu-isu bencana.
Kedua-dua pihak ini juga memasang tekad untuk melaksanakan latihan kepada para sukarelawan JKM dan MAIPs bagi mempertingkatkan lagi tahap kecekapan dalam pengurusan menghadapi situasi bencana di masa-masa yang akan datang.