MAIPs STAFF MENU
Please click Log in button above to enter MAIPs staff menu section.
THUN, Switzerland 8 Ogos - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berhasrat untuk melestarikan pembangunan fizikal yang bersifat inklusif dan bermanfaat.
MAIPs telah melaksanakan beberapa pembangunan dalam beberapa sektor seperti pendidikan, kebajikan, dakwah kemasyarakatan dan kesihatan.
Sebagai contoh, pada tahun 2012 MAIPs telah memulakan pembangunan Projek Taman Desa Asnaf Batu Bertangkup. Program inkubator dan latihan asnaf telah siap dibina pada tahun 2013 dengan kerjasama Lembaga Zakat Selangor Majlis Agama Islam Selangor. Sebelum itu, MAIPs dengan sumbangan individu turut membangunkan Masjid Terapung Al-Hussain Kuala Perlis pada tahun 2011 yang kini menjadi salah satu mercu tanda di Negeri Perlis.
Selain itu, pembangunan projek wakaf Kompleks Dewan Kuliyyah MAIPs di Behor Temak Kangar sebagai pusat aktiviti kemasyarakatan dan pendidikan turut dibangunkan pada tahun 2013 dan mula digunakan pada tahun 2014.
MAIPs juga melaksanakan projek pemuliharaan bangunan masjid lama bagi tujuan melestarikan manfaat wakaf. Pembangunan projek Pusat Pengajian As-Sunnah (Centre of Sunnah) MAIPs di Masjid Lama Arau telah dilaksanakan pada tahun 2016 yang juga merupakan masjid terawal di Negeri Perlis. MAIPs turut mewujudkan Pusat Pengurusan Jenazah Darul Abrar pada tahun 2017 di bekas Masjid Al-Abrar Kubang Gajah.
Pada 2017, MAIPs telah menubuhkan One Centre Malaysia Perlis yang merupakan sebuah pusat kebajikan dan dakwah. Pusat berkenaan telah dirasmikan pada 22 Julai 2019 baru-baru ini.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan menyerahkan sumbangan MAIPs sebanyak RM3,000 untuk ‘Tabung Ibnu Sabil’ bagi kegunaan rakyat Malaysia yang dalam kesusahan kewangan di Milan, Itali dan kawasan sekitar dengannya kepada Pengarah Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) Milan, Awangku Fiarulnazri Awang Tajudin di Delta Park, Thun, Switzerland semalam.
Awangku turut hadir menyertai baginda dalam lawatan khas ke sebuah syarikat ternama dalam industri pertahanan di sini bagi meninjau peluang pelaburan untuk dibawa ke Perlis.
Berangkat sama mengiring ialah anakanda baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.
Tambah Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Yang DiPertua MAIPs lagi, majlis berkenaan turut memperkukuhkan jaringan kolaborasi akademik di rantau ini dengan membangunkan Fakulti Al-Quran dan As-Sunnah di Fatoni University yang dirasmikan sendiri oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail pada tahun 2018.
Pada tahun 2019, MAIPs giat membangunkan sebuah projek mercu tanda wakaf dalam bidang kesihatan iaitu Pusat Perkhidmatan Hemodialisis Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di Kangar. Projek berkenaan dijangka siap pada penghujung tahun 2019. MAIPs turut membangunkan ruang niaga buat golongan asnaf di Bandar Kangar yang bakal dibuka untuk usahawan asnaf tidak lama lagi.
Selain itu MAIPs bakal melaksanakan pembangunan Kompleks Pengurusan dan Asnaf selain merancang untuk pembangunan Kampus Tetap Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) dan sedang membuat perancangan untuk cuba mewujudkan sebuah ‘Muzium 4 Mazhab’ yang sekiranya berjaya dilaksanakan bakal menjadi tarikan pendidikan dan pelancongan baru di negeri ini.
MAIPs sebelum ini juga telah membangunkan Kompleks Wakaf Behor Lalang dengan kerjasama Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (JAWHAR) Jabatan Perdana Menteri selain turut membangunkan enam Bazar Wakaf dengan kerjasama Yayasan Waqaf Malaysia.
Terdahulu, keberangkatan tiba baginda di Stesyen Keretapi Thun dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kloten Zurich disambut oleh Setiausaha Pertama Kedutaan Besar Malaysia di Berne, Zuliera Zariz Azman Aziz.