MAIPs STAFF MENU
Please click Log in button above to enter MAIPs staff menu section.
TUJUH beranak yang menumpang di ruangan pejabat sebuah syarikat swasta sejak hampir dua bulan lalu mendapat perhatian pihak berwajib di Perlis.
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor berkata, pihaknya sudah menemui keluarga Mohd Firdaus Chandhra Abdullah, 42, di premis keluarga itu menumpang semalam.
“Dia adalah salah seorang penerima bantuan berkala daripada MAIPs dan sudah menerima bantuan wang tunai sejak 2018.
“Bagaimanapun dalam lawatan semalam kami memberi keluarga itu wang bantuan MAIPs Peduli RM600 dan akan ditambah lagi RM1,500 dalam masa terdekat sebagai Bantuan Serta Merta Institusi Pengajian Tinggi (IPT) kepada anak sulungnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Semalam portal berita Harian Metro melaporkan Mohd Firdaus dan isterinya Rosniza Rusli, 45, bersama lima anak perempuan yang berusia sembilan hingga 20 tahun menumpang teduh di ruangan kosong sebuah pejabat berikutan desakan hidup selain dihimpit kekangan kewangan.
Mereka menumpang di pejabat itu sejak Jun lalu hasil ihsan pengasas syarikat yang memahami masalah dan kekangan dihadapi keluarga terbabit.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Perlis (JKM) Perlis, Mohammad Hazam Ismail berkata, pihaknya akan meluluskan permohonan bantuan bulanan dan keperluan lain untuk keluarga Mohd Firdaus.
“Kita akan membantu memudahkan proses permohonan keluarga itu dan menambah jumlah bantuan bulanan kepada mereka memandangkan ketika ini mereka bergantung pada bantuan bulanan RM250 yang diterima anak kedua yang berstatus Orang Kelainan Upaya (OKU).
“Malah JKM juga akan berbincang dengan MAIPs dalam masa terdekat supaya dapat menyediakan kelengkapan perniagaan kepada Mohd Firdaus untuk memulakan kembali perniagaan makanannya memandangkan dia tidak boleh melakukan pekerjaan yang menggunakan tenaga banyak,” katanya.