MAIPs STAFF MENU
Please click Log in button above to enter MAIPs staff menu section.
NILAI, 30 Julai 2019 - Hubungan bermasyarakat amatlah penting di dalam kita mendepani cabaran masa hadapan.
Ini kerana menerusi perhubungan kemasyarakatan yang eratlah maka kita dapat membentuk sebuah generasi yang seimbang dari segi moral dan intelektual memandangkan melalui perhubungan yang baik di antara satu sama lain maka tersemainya budaya bertolak ansur, memahami antara satu sama lain, di samping memupuk semangat perpaduan yang jitu di kalangan rakyat tanpa mengira warna kulit, kaum dan keturunan.
Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat merasmikan program kayuhan amal FGV, ‘Ride With P.R.I.D.E. Tahun 2019’ sejauh 12km yang bermula dan berakhir di Pusat Inovasi FGV, Bandar EnEnstek di sini kelmarin.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif FGV Holdings Berhad Datuk Haris Fadzillah Hassan serta barisan pengurusan kanan syarikat.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menambah bahawa sebagai sebuah organisasi yang telah lama berkecimpung di dalam industri penyelidikan perladangan negara, baginda menaruh kepercayaan yang tinggi bahawa pakar-pakar penyelidikan FGV mampu menghasilkan produk berkualiti tinggi seterusnya meningkatkan lagi sumbangan bermakna dan juga keberhasilan pelbagai produk tanaman bagi manfaat industri, rakyat dan negara.
Bersempena program kali ini, Masjid Gadong Jaya, Masjid Kariah Gadong Lama, Masjid Kg. Jinjang dan Masjid Felda LBJ dan juga Rumah Pusat Jagaan Baitul Barokah Ummul Qura di Bandar Enstek dapat merasai sedikit limpahan ‘nikmat’ berupa sumbangan kewangan yang diterima daripada pihak FGV.
Di majlis tersebut juga pihak FGV turut menyerahkan sumbangan sebanyak RM50,000 kepada Pusat Hemodialisis Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bersama-sama Hospital Tuanku Fauziah Kangar yang sedang rancak tengah dibangunkan sekarang.
Sumber daripada Utusan Online