MAIPs STAFF MENU
Please click Log in button above to enter MAIPs staff menu section.
KANGAR, 26 Feb. 2018 (Isnin) - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah berharap agar negara ini dan rakyatnya terus dilimpahi kebaikan sempena kedatangan Tahun Baharu Cina pada tahun ini.
Baginda bertitah, meskipun kepercayaan kepada sial ditolak, namun Nabi Muhammad SAW mengajar umatnya supaya suka mengandaikan perkara baik akan berlaku.
“Perkara ini disebut sebagai ‘Al-Fa’lu Al-Hasan’ ataupun boleh dikatakan sebagai ‘good omen’ (petanda baik). Ini seperti mengharapkan tuah atau ‘ong’ dalam kepercayaan masyarakat Cina.
“Dalam konteks Islam, kita sentiasa mengandaikan bahawa Allah SWT akan memberikan sesuatu yang baik, ataupun menjadikan keadaan lebih baik,” titah baginda.
Baginda yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bertitah demikian selepas berkenan berangkat bercemar duli menghadiri majlis jamuan tengah hari sempena Tahun Baharu Cina yang dihoskan oleh Pengarah Urusan Bumita Development Sdn. Bhd., James Lee dan isterinya, Soonie Lee di sebuah restoran, di sini hari ini.
Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Baginda berdua turut berkenan menggaul ‘Yee Sang’ dan juga melepaskan gimik belon berwarna merah sebagai tanda kenangan di majlis tersebut bersama-sama para tetamu lain yang hadir.
Sumber daripada UTUSAN ONLINE