MAIPs STAFF MENU
Please click Log in button above to enter MAIPs staff menu section.
KANGAR , 23 Feb. 2018 (Jumaat) - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sentiasa memikirkan kaedah terbaik dan berkesan untuk membantu golongan asnaf di negeri ini.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, atas sebab itu, MAIPs telah bersetuju untuk mempertimbangkan dan meluluskan tambahan bantuan bulanan sebanyak RM200 kepada para penerima daripada golongan tersebut bermula bulan depan.
Baginda yang juga Yang Dipertua MAIPs bertitah, bantuan itu akan dimasukkan ke dalam akaun bank para penerima.
“Pihak MAIPs memperuntukkan wang sumbangan zakat sebanyak RM845,600 sebulan kepada 4,228 orang penerima seluruh negeri ini.
“Jumlah peruntukan tersebut adalah sebanyak RM8.456 juta yang akan diagihkan kepada senarai penerima Bantuan Am Negeri Perlis dan Bantuan Kanak-kanak melalui cadangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat bercemar duli pada Program Bangun Jiwa Asnaf MAIP’s 2018 di Dewan Ibnu Khaldun, Institut Kemahiran Mara (IKM) Beseri di sini semalam.
Yang turut hadir, Mufti negeri, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin; Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd. Nazim Mohd. Noor; Pengerusi Agama Islam dan Pembangunan Sumber Manusia negeri,
Khairi Hassan dan Pengarah JKM negeri, Muhammad Hazam Ismail.
Seterusnya baginda mengingatkan kepada para penerima agar sentiasa bersyukur di atas nikmat yang diberikan oleh Allah.
Titah baginda, kesyukuran itu juga dapat dizahirkan apabila nikmat rezeki yang diterima itu digunakan dengan cara paling baik serta tidak membazir.
“Gunakanlah sumbangan yang diberikan ini untuk membeli makanan dan barang-barang keperluan yang bermanfaat. Jangan kita gunakan untuk membeli barangan yang tidak berfaedah dan adakalanyasehingga membawa kerosakan kepada diri sendiri dan keluarga,” titah baginda.
Sumber daripada UTUSAN ONLINE