HAT YAI, 9 Mac - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berharap Kerajaan Thailand dan Malaysia mempertimbangkan supaya masa penutupan sempadan di Padang Besar akan dilewatkan dari 10 malam ke 12 tengah malam.
Selain itu, baginda berharap pintu masuk di Kuala Perlis serta kemudahan laluan bebas di Wang Kelian dibenarkan kembali setelah ditutup sejak 2015.
Titah baginda lagi, lebih ramai pengunjung daripada Thailand diharap akan bertandang ke Perlis khususnya ketika Tahun Melawat Perlis 2024-2025 sekiranya operasi di pintu sempadan dikaji semula.
Demikian titah baginda di majlis pelancaran ‘Promosi Masakan Perlis’ iaitu berupa Kurma Daging Perlis sempena ‘Hari Media Dan Pelancongan Malaysia-Selatan Thailand 2024".
Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Tuanku Hajah Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan menyerahkan plak sebagai simbolik promosi tersebut.
Hadir sama ialah Gabenor Wilayah Songkhla, Somnuek Promkhieo dan Gabenor Wilayah Pattani, Patimoh Sadiyamu yang turut disertai Naib Gabenor Narathiwat, Chatchai Usaha, Naib Gabenor Satun, Kanit Kongchouy dan Timbalan Gabenor Yala Olan Bilsan.
Sumber: Berita RTM