MAIPs STAFF MENU
Please click Log in button above to enter MAIPs staff menu section.
KANGAR, 8 Mac (Sabtu) - Rejimen 504 Askar Wataniah yang berpangkalan di Kem Bukit Keteri dekat sini mensasar merekrut 600 anggota baharu tahun ini, titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku komander rejimen berkenaan.
Menurut baginda pelbagai cara akan digunapakai agar sasaran itu tercapai antaranya setiap batalion dalam rejimen perlu merekrut 20 anggota baharu setiap bulan.
Selain itu institusi-institusi pengajian tinggi (IPT) di negeri ini disasarkan mendaftarkan 10 peratus dari jumlah kemasukan penuntut barunya dalam Askar Wataniah dan 30 peratus dari tiga Rancangan Felda di Perlis, titah baginda.
Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs) mencadangkan setiap qariah masjid di negeri ini mendaftarkan empat anggota di samping setiap keluarga mempunyai seorang anggotanya menyertai Askar Wataniah.
"Beta mahu penyertaan rakyat bukan Bumiputera dalam Askar Wataniah digalakkan," titah baginda semasa berangkat menyertai program kayuhan berbasikal sejauh 18 kilometer bersempena sambutan Hari Ulang Tahun ke-81 Tentera Darat di Kem Bukit Keteri petang semalam.
Baginda dan kira-kira 150 peserta kayuhan dengan diiringi Panglima Briged Sempadan TDM, Brig-Jen Hasagaya Abdullah dan Ketua Polis Perlis, Datuk Zull Aznam Haron turut singgah menyampaikan sumbangan 'MAIPs PEDULI' kepada empat warga asnaf.
Sumber daripada BERNAMA