MAIPs STAFF MENU
Please click Log in button above to enter MAIPs staff menu section.
TRANG (Thailand), 15 Jan.2018 (Isnin) - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengajak seluruh umat Islam supaya mencontohi sifat Rasulullah SAW dalam menyayangi dan berbuat kebaikan kepada anak-anak yatim.
Baginda bertitah, umat Islam yang bermampuan dianjurkan untuk bersedekah dan menyantuni golongan itu dengan kebaikan, suatu amalan yang amat dituntut sehingga Allah SWT mengurniakan ganjaran pahala seumpama berjihad di jalan-Nya.
“Menyantuni anak yatim itu diibaratkan seseorang yang bangun pada waktu malam dan berpuasa di siang hari kemudian dilanjutkan dengan keluar di waktu petang serta pagi untuk berjihad di jalan Allah,” titah baginda.
Demikian titah baginda ketika berkenan berangkat bercemar duli menghadiri Majlis Menyantuni Anak Yatim di Sekolah Kebangsaan Saparachinee di sini, semalam.
Majlis di sekolah rendah yang paling ramai bilangan anak-anak yatim di wilayah ini itu iaitu seramai 4,000 orang, dianjurkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dengan kerjasama Persatuan Muslim Trang bersempena program Ziarah Mahabbah MAIPs 2018.
Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda-anakanda baginda, Puteri Sharifah Farah Adriana Jamalullail dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.
Turut hadir Penasihat Undang-Undang negeri, Wan Jeffry Kassim; Penasihat kepada Menteri Pendidikan Tinggi, Prof Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Husin serta ahli-ahli majlis MAIPs dan ahli-ahli jawatan kuasa kewangan MAIPs.
Tuanku Syed Faizuddin seterusnya bertitah, mereka yang berbuat baik kepada anak-anak yatim ini dengan perasaan kasih sayang, akan dimuliakan dan dilimpahi rezeki dan begitulah sebaliknya.
“Mereka ini (menyantuni anak-anak yatim) seterusnya tergolong dalam kalangan orang-orang beriman dan bertaqwa kepada Allah SWT.
“Selain itu, dipermudahkan urusan kehidupan dengan beroleh kelapangan dan diberi pertolongan daripada Allah SWT... Ibarat seperti berinfak di jalan Allah dan akan diperbanyakkan rezekinya,” titah baginda.
Titah baginda lagi, mereka juga diberi kelebihan dengan mendapat limpahan rahmat di dalam rumah dan menjadi kediaman yang dicintai di dalam Islam.
Sumber daripada UTUSAN ONLINE