MAIPs STAFF MENU
Please click Log in button above to enter MAIPs staff menu section.
RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, setiap pelajar perlu melengkapkan diri dengan nilai-nilai sahsiah yang mantap agar tidak mudah terpengaruh dengan sebarang gejala yang tidak sihat terutama apabila melangkah keluar dari alam persekolahan kelak.
Baginda bertitah, para pelajar juga perlu mendapat bimbingan dari ibu bapa dan pihak sekolah bagi memahami, menghayati dan mengamalkan ajaran ayat-ayat suci al-Quran agar ia menjadi sebati dalam jiwa masing-masing.
“Beta ingin mengingatkan bahawa anda semua adalah generasi masa depan yang akan menentukan kesejahteraan agama, bangsa dan negara kita. Oleh itu, sematkan azam yang teguh untuk mempersiapkan diri anda menjadi cendekiawan dan teknokrat Islam yang berpandukan al-Quran”, titah Baginda lagi.
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian ketika berkenan berangkat merasmikan Program Titian Kasih Mega 2024 bagi peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Arau yang melibatkan sebanyak 291 orang pelajar tingkatan 1 hingga 3.
Keberangkatan tiba Baginda yang turut diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Pengarah Pendidikan Negeri Perlis, Rose Aza Che Arifin, dan Pengetua SMKA Arau, Arpan Shaari.
Turut hadir sama, Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Datuk Johari Mohd Darus dan Penyelaras dari Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Mejar Muhamad Azuan Mohamad Nasir.
Arpan Shaari dalam ucapannya meminta semua pihak terus bekerjasama dalam menjayakan program seumpama ini terutamanya dalam membantu SMKA Arau untuk terus mengekalkan kedudukan sebagai sekolah nombor satu terbaik dalam meningkatkan akademik di negeri ini.
Sekolah ini telah berjaya membawa pulang pingat emas dan juga gangsa bagi pertandingan Innovation 2023 Idea UiTM dan juga pingat gangsa bagi International Eureka Innovation Exhibition (I-EIE) UniKL Kulim.
Saban tahun, sekolah ini akan menyertai sekurang kurangnya 2 pertandingan inovasi peringkat antarabangsa, apatah lagi pertandingan peringkat kebangsaan dan negeri supaya pelajar-pelajar sekolah ini diberi pendedahan luas tentang aplikasi pembangunan produk dalam dunia sebenar.
Pengalaman pelajar menyertai pertandingan ini banyak membentuk diri pelajar lebih yakin dalam berkomunikasi yang berkesan, menambah minat dalam bidang STEM, kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis.
Antara produk yang telah dihasilkan untuk dibawa bertanding dalam pertandingan inovasi peringkat antarabangsa yang berjaya mendapat pingat emas adalah alat menukar pesanan teks kepada suara, yang disambung terus kepada sistem PA sekolah.
Maka, pengguna boleh menghantar mesej kepada alat ini dari tempat jauh, dan pesanan akan terus diumumkan di PA sistem sekolah.
Produk lain yang berjaya memenangi pingat emas adalah penghasilan papan kenyataan yang diperbuat daripada hampas tebu dan puntung rokok. Ini boleh mengoptimumkan penggunaan sisa buangan.
Untuk rekod, bilangan pelajar yang telah khatam hafazan Al-Quran dari sekolah ini adalah 77 orang dalam tahun 2021, 70 orang bagi 2022 dan 76 orang untuk 2023.
Jumlah keseluruhan SMKAA melahirkan huffaz adalah seramai 223 orang.
GPS SPM sekolah ini adalah 2.26 bagi tahun 2022 berbanding 2.96 pada 2021. 7 pelajar melanjutkan pelajaran di luar negara dan 70 orang dalam negara bagi 2021 manakala bagi 2022, 8 pelajar di luar negara dan 62 orang dalam negara.
Dalam bidang ko-kurukilum pula SMKAA muncul juara di Kejohanan Silat Jemputan Kebangsaan Prosilat Negeri Johor 2023, Johan Kejohanan Futsal Sekolah-Sekolah Menengah Agama Peringkat Kebangsaan 2023 Bawah 16 Tahun, serta Naib Johan Mimvar Dai Ihtifal Lughawi Sekolah-Sekolah Peringkat Kebangsaan 2023.
Sumber: Suara Merdeka