MAIPs STAFF MENU
Please click Log in button above to enter MAIPs staff menu section.
RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, antara perkara yang sangat penting dalam menjalankan sesuatu tugas adalah kerjasama dalam pasukan.
Baginda bertitah, kerjasama dan kesepakatan adalah antara kunci paling utama di dalam sebuah organisasi demi mencapai kejayaan dan kemenangan.
Sehubungan itu titah Baginda, setiap organisasi perlu menerapkan semangat berkerjasama dan saling membantu antara satu sama lain dalam menguruskan sistem pentadbiran yang sedia ada.
“Masing-masing juga memerlukan warga kerja yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran, serta tenaga dan persiapan mentaliti untuk mencorakkan sistem pengurusan yang terbaik bagi menyumbang bakti kepada organisasi, bangsa dan negara,” titah Raja Muda.
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian selepas berkenan berangkat menghadiri Majlis Sumbangan Agihan Zakat yang dianjurkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Masjid Sirajuddin Padang Pauh, Jalan Kaki Bukit, Kangar baru-baru ini.
Agihan ini merupakan salah satu pendekatan pihak MAIPs dalam usaha untuk menyalurkan bantuan kepada asnaf yang memerlukan di negeri ini.
Raja Muda merangkap Yang DiPertua MAIPs berkenan menyampaikan sumbangan MAIPs sebanyak RM700 kepada 70 asnaf dari anak Kariah Padang Pauh dan 70 lagi anak Kariah dari Paya dengan jumlah penuh sumbangan MAIPs pada sesi kali ini berjumlah RM98,000.
Para asnaf yang menerima sumbangan turut berpeluang untuk menyaring kesihatan secara percuma dan juga Ceramah Bangun Jiwa Asnaf dari pihak MAIPs.
Sumber: Suara Merdeka