MAIPs STAFF MENU
Please click Log in button above to enter MAIPs staff menu section.
PADANG BESAR, 7 Mei 2017 (Ahad) - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) membangunkan teknologi baharu yang lebih bersistematik dalam pengesanan dan pengurusan bencana banjir yang akan diletakkan di 108 masjid termasuk rumah ibadat di negeri ini selain untuk dikomersialkan ke seluruh negara.
Pengerusi Yayasan UniMAP Prof Emeritus Datuk Dr Kamarudin Hussin berkata teknologi penggera tersebut yang bersifat lebih praktikal dibangunkan secara bersepadu menerusi aplikasi pintar ( android ) yang boleh dimuat turun menerusi Google Play Store di telefon bimbit masing-masing.
"UniMAP membangunkan teknologi seumpamanya secara berpusat di mana menjadikan semua masjid termasuk rumah ibadat sebagai lokasi strategik bagi mengesan dan mengurus bencana alam seterusnya menyebarkan maklumat secara terus ke kawasan sekitar dengan lebih cepat.
"Walaupun fungsi pengesanan banjir sudah diguna pakai oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di setiap negeri, tetapi idea tersebut akan dipraktikkan serta dikomersialkan untuk sebaran umum yang lebih cepat selain menjadi usaha membantu menyelamatkan nyawa, keluarga dan harta," katanya.
Kamarudin bercakap kepada pemberita selepas majlis pelancaran masjid sebagai tempat tumpuan untuk pengurusan bencana dan teknologi bersepadu (MFordCT) yang disempurnakan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Kampus Uniciti Alam, di sini, hari ini.
Katanya, pemasangan alat yang dibangunkan Pusat Kecemerlangan Teknologi Sensor Termaju (CEASTech) UniMAP itu, bernilai RM5,000 setiap satu dan akan mula dipasang secara berperingkat dalam tempoh terdekat dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Mengulas lanjut, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekatronik UniMAP, Dr Mohd Hafiz Fazalul Rahiman berkata alat penggera itu telah diuji keberkesanannya dalam mengesan petanda awal bencana yang mungkin berlaku.
Katanya, dengan penggunaan jalur lebar, teknologi yang memberi maklumat mengenai kadar suhu, kelembapan dan paras air semasa akan menghantar notifikasi berkenaan ke telefon pintar selain boleh diakses menerusi laman sesawang MFordCT.
"Jika (keadaan) banjir mencapai tahap ketinggian tertentu, maka maklumat itu dapat disebarkan melalui teknologi wifi terus ke alat pengesan yang telah dihubungkan kepada penggera yang dipasang di setiap masjid dan rumah ibadat.
"Jika air naik menghampiri paras berbahaya, sistem penggera di masjid serta rumah ibadat akan mengeluarkan tanda amaran dan siren kepada masyarakat di sekitarnya mengenai kewujudan bencana termasuk menyebarkan melalui aplikasi pintar tersebut," jelasnya.
Mohd Hafiz berkata, langkah memperkenalkan sistem ini juga adalah untuk memudahkan sebaran maklumat bencana yang sahih dan cepat secara automatik tanpa perlu menelefon nombor kecemasan untuk melapor kejadian serta mendapatkan bantuan.
Sumber daripada BERNAMA