MAIPs STAFF MENU
Please click Log in button above to enter MAIPs staff menu section.
KANGAR ,20 April 2017 (Khamis) - Masyarakat perlu memahami dengan betul mengenai pegangan negeri Perlis dalam beragama yang jelas menolak sekeras-kerasnya fahaman syiah, titah Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.
Baginda bertitah pelbagai inisiatif dilakukan negeri ini dalam usaha mengangkat martabat Islam berlandaskan manhaj Ahli Sunnah Waljamaah selain perlu merujuk kepada al-Quran dan sunnah sebagai panduan.
"Setiap yang dilakukan perlu menonjolkan jati diri Islam yang sebenar serta membawa ke arah sejahtera kerana Islam adalah agama Rahmatan Lil 'Alamin (membawa rahmat dan kesejahteraan bagi semua seluruh alam semesta)," titah baginda.
Baginda bertitah demikian semasa menutup Multaqa Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Dewan Warisan di Kangar hari ini. Turut berangkat Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Multaqa atau himpunan yang julung kalinya diadakan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Perlis dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man, Mufti Negeri Datuk Prof Madya Mohd Asri Zainul Abidin serta barisan kepimpinan negeri.
Baginda bertitah negeri Perlis mempunyai Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri yang telah terlebih dahulu mengiktiraf Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagai manhaj Islam yang diamalkan di negeri ini.
Justeru, Perlis mengiktiraf mazhab-mazhab utama di bawah aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah tetapi tidak pula terikat untuk mengamalkan pandangan daripada satu mazhab sahaja.
"Selaras dengan perkembangan tamadun dan pemodenan masyarakat, terdapat pelbagai tafsiran atau ijtihad tentang sesuatu amalan yang boleh diambil oleh pemerintah atau 'Ulil Amri mengikut sosiobudaya sesuatu tempat.
"Dalam hal ini, kita dibimbing dengan khidmat nasihat Jabatan Mufti dan Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri yang menentukan pandangan terbaik untuk masyarakat dapat mengamalkan agama Islam dengan harmoni tanpa sebarang rasa prejudis ataupun keliru," titah baginda.
Sumber daripada Bernama