MAIPs STAFF MENU
Please click Log in button above to enter MAIPs staff menu section.
KANGAR, 2 April 2017 (Ahad) - Isu gelandangan di negara ini harus ditangani secara proaktif oleh masyarakat dan pihak berwajib, titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. Baginda bertitah pelbagai kaedah boleh dilaksanakan untuk menyantuni dan membantu golongan gelandangan antaranya dengan melakukan aktiviti rondaan secara kerap ke kawasan dikenal pasti sebagai lokasi menjadi tempat berteduh golongan itu.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah pusat gelandangan juga harus diwujudkan dengan lebih banyak sebagai tempat perlindungan sementara kepada golongan berkenaan.
"Dalam konteks ini, 'Anjung Singgah' boleh disediakan oleh kerajaan atau badan bukan kerajaan (NGO) yang bukan sahaja memainkan peranan sebagai tempat agihan makanan.
"Namun, ia turut berfungsi sebagai platform memulihkan minda golongan gelandangan yang telah berputus asa agar dapat kembali menjalani kehidupan seperti orang lain," titah baginda.
Selain itu, titah Raja Muda Perlis, taraf kehidupan golongan gelandangan juga boleh diperbaiki dengan mengenal pasti kepakaran atau kemahiran tersembunyi dalam diri mereka memandangkan kebanyakan daripada golongan berkenaan tidak mempunyai kelulusan tinggi.
"Kita dapat membantu mereka mencari pekerjaan sesuai dengan kemahiran yang dimiliki," titah baginda. Baginda bertitah demikian selepas menyertai program berjalan kaki amal "Good Will Walk: Walk To Feed, Malaysia Food Bank 2017", di sini, hari ini.
Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Program berkenaan bermula di Perkarangan Galeri DiRaja Arau dan berakhir di Gurdwara Sahib di sini, sejauh 11 kilometer.
Turut serta dalam program anjuran Pertubuhan Tabung Makanan Malaysia dangan kerjasama United Sikh itu, ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Ahmad Zamri Khairuddin dan Pegawai Kewangan Negeri, Nasaruddin Abdul Muttalib.
Program 'Good Will Walk' pada tahun ini, adalah untuk mengutip dana bagi membantu memberi makan kepada golongan gelandangan melalui Nanaks Kitchen di Kuala Lumpur.
Jumlah RM70,000 diperlukan untuk tahun ini oleh pihak penganjur dengan slogan 'Recognize The Human Race As One' dan jika terdapat lebihan dana, maka Orang Asli di seluruh negara khususnya di Gua Musang turut akan menerima bantuan.
Baginda berdua dan peserta juga sempat singgah dan meninjau Pusat Pengurusan Jenazah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Kubang Gajah; Wat Macchimaprasit di Jejawi; gerai Masjid Tun Abdul Razak di Repoh dan Masjid Alwi di Kangar.
Sumber daripada BERNAMA