MAIPs STAFF MENU
Please click Log in button above to enter MAIPs staff menu section.
KANGAR, 21 Jan 2016 (KHAMIS) - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyarankan agar setiap umat Islam menjadikan majlis-majlis ilmu sebagai satu tanggungjawab yang perlu diikuti dan bukan sekadar pilihan.
Baginda bertitah rakyat perlu bersungguh-sungguh dalam mempelajari ilmu yang diamanahkan agar menjadi umat yang berpengetahuan tinggi."Ilmu adalah antara asbab Allah mengangkat darjat manusia dan tiada berguna bagi golongan yang tidak berilmu," titah baginda ketika merasmikan Simposium Guru Tauliah dan Penganugerahan Sijil Tauliah Mengajar Agama Islam anjuran Jabatan Mufti Perlis di Auditorium Dr Syed Mahmud, Jabatan Kesihatan Negeri di sini hari ini.Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Sumber Manusia Negeri, Khari Hasan, Speaker Dewan Undangan Negeri, Hamdan Bahari dan Mufti Kerajaan Negeri, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin.Baginda bertitah semakin bertambah ilmu manusia, semakin dekat diri seseorang dengan Allah kerana mereka yang berpengetahuan tentang janji baik dan buruk serta kisah-kisah para nabi dan rasul dapat menimbulkan keinsafan dalam diri masing-masing."Semakin tinggi ilmu dimiliki seseorang itu, maka semakin tunduk dan mempunyai sifat pengharapan kepada Allah SWT," titah baginda yang juga merupakan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).Tuanku Syed Faizuddin bertitah ilmu dan amal perlu berjalan seiring kerana tanpa ilmu sudah pasti manusia akan terjerumus mengikut hawa nafsu manakala bagi yang berilmu tetapi tidak beramal pula pasti dipersoalkan di akhirat kelak."Maka amanah menyampaikan ilmu yang benar berdasarkan fakta Al-Quran dan hadis perlu ditanam dalam diri setiap da'i agar dapat membawa umat manusia mentauhidkan Allah serta meninggalkan sebarang perkara yang sia-sia," titah baginda.Baginda bertitah para guru takmir dan guru majlis yang berperanan menguruskan segala kegiatan seperti khutbah dan program mengimarahkan masjid agar turut hadir ke program ilmiah anjuran MAIPs dan Jabatan Mufti bagi menambah ilmu mereka."Para guru perlu menunjukkan teladan yang baik kepada masyarakat dalam setiap tingkah laku dan perbuatan agar menjadi ikutan dan mengelakkan tanggapan negatif kepada penyampai ilmu di mata masyarakat," titah baginda.Lebih 100 guru takmir di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan guru majlis di bawah MAIPs hadir pada program tersebut sementara sijil kebenaran mengajar diberi kepada 31 penerima.
Sumber daripada BERNAMA