MAIPs STAFF MENU
Please click Log in button above to enter MAIPs staff menu section.
ARAU, 12 April 2015(AHAD) - Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah sukan dapat membantu melahirkan golongan manusia yang produktif, sihat dan positif dalam meningkatkan kualiti hidup. Titah baginda nilai-nilai murni tersebut melambangkan semangat tidak pernah putus asa dan jati diri serta daya juang yang perlu ada dalam diri setiap insan yang ingin mengecap kejayaan.
"Beta amat berharap penganjuran kejohanan sukan dapat menyuntik nilai-nilai ini dalam diri peserta dan menjadi insan yang memenuhi ciri-ciri insan harapan bangsa dan negara," titah Tuanku Syed Faizuddin. Baginda bertitah pada majlis penutup dan penyampaian hadiah Kejohanan Woodball Agensi-agensi Agama Islam Perlis kedua di Kompleks Sukan Syed Sirajuddin Areeb Putra Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di sini, hari ini.
Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Timbalan Yang DiPertua Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs) Datuk Abu Bakar Ahmad, Timbalan Naib Canselor UniMAP Prof Madya Fo'ad Sakdan dan Rektor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) Dr Mohd Mizan Mohd Aslam, turut hadir. Tuanku Syed Faizuddin selaku Yang DiPertua MAIPs bertitah bahawa minda cerdas datang daripada badan sihat dan tanpa kesihatan yang baik manusia tidak dapat berfikir dengan waras atau membuat keputusan dengan rasional.
"Beta mengesyorkan setiap orang sekurang-kurangnya beriadah sebagai aktiviti untuk menjaga kesihatan atau menyertai sukan woodball sebagai 'sukan untuk semua' kerana ia sesuai bagi setiap lapisan masyarakat," titah baginda. Enam pasukan mengambil bahagian pada kejohanan itu iaitu MAIPs, Jabatan Kehakiman Syariah (JKSN), Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs), Jabatan Mufti, Yayasan Islam Perlis (YIPs) dan Pejabat DYMM Tuanku Raja Perlis.
Tiga kategori yang dipertandingkan dimenangi oleh pasukan Pejabat DYMM Tuanku Raja Perlis, sekali gus berjaya mempertahankan kejuaraan keseluruhan pada kejohanan tersebut.
Sumber daripada BERNAMA