MAIPs STAFF MENU
Please click Log in button above to enter MAIPs staff menu section.
KRABI (THAILAND) : Umat Islam di Malaysia dan Thailand harus saling menghormati undang-undang dan kedaulatan negara masing-masing, selain terus mencari jalan supaya kedua-dua negara sentiasa mempertingkatkan perhubungan yang lebih erat.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, bertitah supaya umat Islam di Malaysia dan Thailand perlu memainkan peranan berkenaan kerana kedua-duanya mempunyai matlamat yang sama.
"Sebagai saudara Islam, kita mesti bersatu dalam apa juga keadaan, saling membantu tanpa mengira perbezaan dan di mana saja kita berada terutama dalam bidang sosial, ekonomi dan lainnya.
"Kesatuan ini seterusnya akan memajukan umat Islam dan meninggikan martabat Islam di mata orang bukan Islam sesuai dengan tingginya kemuliaan dan kesucian Islam itu sendiri," titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada majlis perjumpaan Ahli Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dengan Majlis Agama Islam Wilayah Krabi yang diadakan di Kompleks Islam Krabi di sini, hari ini.
Baginda selaku Yang Dipertua MAIPs berangkat bersama rombongan MAIPs untuk lawatan kerja ke Trang dan Krabi selama tiga hari dengan diiringi Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Yang turut serta Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin; Timbalan Yang Dipertua MAIPs, Datuk Bakar Ahmad dan Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Perlis, Khairi Hassan.
Hari ini, Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan berangkat ke bengkel Multaqa Ummatan Wahidah yang disertai Ahli Majlis MAIPs dan Ahli Majlis Agama dari enam wilayah Andaman iaitu Phuket, Krabi, Satun, Ranong, Phang Nga dan Trang.
Dalam bengkel itu, antara tajuk yang dibincangkan adalah prosedur pengiktirafan halal, metodologi dakwah yang berkesan dan peranan zakat dalam pembangunan ummah.
Sumber daripada Berita Harian