MAIPs STAFF MENU
Please click Log in button above to enter MAIPs staff menu section.
27 Julai 2014- Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berharap hubungan istimewa Perlis dan wilayah Satun yang terlakar sejak ratusan tahun lalu terus disuburkan dengan pelbagai kegiatan dan kerjasama.
Menurut baginda, jalinan kekeluargaan dan perdagangan sejak sebelum Perjanjian Bangkok telah menyaksikan keakraban hubungan Perlis dan wilayah di selatan Thailand itu sejak lama dahulu yang kini telah sebati.
Bertitah di Masjid Mambang selepas mengetuai kunjungan silatulrahim di wilayah Satun malam tadi, baginda gembira kerana saban hari pintu sempadan darat dan laut menyaksikan pergerakan keluar dan masuk rakyat Perlis dan wilayah itu.
Lebih menarik, para penduduk Pulau Panjang yang terletak di perairan Thailand turut memilih Kuala Perlis sebagai tempat membeli-belah utama.
Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bertitah, banyak kegiatan bersama boleh dilakukan yang sekali gus menjadi lambang kepada keakraban Malaysia dan Thailand.
Sebagai contoh, baginda bertitah Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) yang diterajui baginda telah mengambil inisiatif melalui Jabatan Pendidikan Perlis mengadakan Kem Bola Sepak Perlis-Satun iaitu program kerjasama latihan bola sepak mulai Oktober ini.
Program itu akan berlangsung selama lima hari di Kangar dengan mengundang 15 pelajar bawah 15 tahun daripada wilayah itu untuk mengikuti latihan bersama dengan 15 pelajar peringkat umur yang sama di Perlis.
Baginda juga berharap umat Islam mengembangkan kekuatan ekonomi supaya mereka juga dapat membantu meningkatkan syiar Islam termasuk membantu masjid, sekolah agama dan fakir miskin.
"Antara langkah itu ialah umat Islam di mana sahaja berada mesti mengutamakan pendidikan anak-anak supaya mereka menjadi warga negara yang berkualiti dan berfikiran kreatif untuk membina ekonomi.
Baginda juga memuji tahap kebersihan masjid-masjid di wilayah itu hasil kesedaran masyarakat begitu juga dengan pusat-pusat perniagaan yang turut menyediakan surau untuk kemudahan umat Islam.
Semasa di masjid Mambang yang merupakan masjid terbesar yang terletak di tengah-tengah bandar Satun itu, baginda beramah mesra dengan para jemaah dan menunaikan solat sunat Tarawih di situ.
Baginda turut menyerahkan sumbangan MAIPs sebanyak Baht 10,000 (kira-kira RM1,000) kepada pengurusan masjid itu.
Turut mengiringi baginda ke majlis itu ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Turut hadir Ketua Polis Perlis Datuk Zull Aznam Haron, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Malik Hussin dan Pengurus Baitulmal Perlis Mohd Nazim Mohd Noor.
Sumber daripada BERNAMA