MAIPs STAFF MENU
Please click Log in button above to enter MAIPs staff menu section.
Kuala Lumpur, 4 Nov. 2019- Pertubuhan Jemaah Dato'-Dato' Perlis (JDDPs) yang bergerak aktif khususnya dalam bidang pendidikan diharap akan terus memberi fokus utama dalam mengapungkan pembelajaran para pelajar berprestasi rendah di negeri ini.
Ia dilaksanakan menerusi ‘Program Kecemerlangan Pendidikan’ yang memasuki tahun terakhir pakej pengapungannya diadakan melibatkan para pelajar terpilih mengikuti program di 20 buah sekolah menengah sekitar negeri Perlis.
Diharap program ini berjaya meningkatkan tahap pembelajaran masing-masing yang terlibat.
Dengan usaha gigih semua pihak, diharap akan dapat diwujudkan pakej yang lebih menarik di tahun-tahun akan datang bertujuan untuk terus meningkatkan lagi tahap pembelajaran terutama para pelajar daripada sekolah luar bandar terbabit.
Semoga usaha murni serta komitmen berterusan akan terus dipelopori oleh Jemaah Dato'-Dato' Perlis demi mengembalikan kecemerlangan pembelajaran negeri Perlis.
Demikian titah Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail ketika berkenan berangkat menghadiri ‘Majlis Santapan Malam 2019 Jemaah Dato’-Dato’ Perlis’ yang diadakan di Ballroom, Hotel Intercontinental, Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada malam semalam.
Berangkat sama, Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah bt Almarhum Tengku Abdul Rashid.
Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Presiden Jemaah Dato' -Dato' Perlis, Datuk Haji Idrus Kassim serta ahli-ahli jawatankuasa tertinggi Jemaah.
Turut berangkat ialah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Penaung DiRaja Jemaah itu.
Majlis tahunan yang dihadiri seramai 400 tetamu ini dianjurkan bersempena ‘Ulangtahun Hari Keputeraan Tuanku Raja Perlis yang ke 76’ yang disambut baru-baru ini.
Tuanku Syed Sirajuddin turut berharap agar menerusi Yayasan Jemaah Dato' - Dato' Perlis yang bertujuan mengembangkan lagi aktivitinya dan akan mampu menempah masa depan yang lebih berjaya sekaligus dapat menunaikan tanggungjawab untuk terus berbakti kepada masyarakat menerusi khidmat sosialnya.
Para tetamu dihiburkan di akhir majlis dengan persembahan oleh artis tidak asing lagi dari Indonesia iaitu Hetty Koes Endang.
Datuk Haji Idrus baru saja dipilih memikul amanah selaku Presiden menggantikan Allayarham Jeneral Tan Sri Datuk Seri Che Md Noor Mat Arshad yang kembali ke Rahmatullah pada 23 Julai 2019 lalu.
Untuk rekod, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) turut menjalinkan kerjasama dengan PPKL melalui pelbagai bersama khususnya dalam bidang kebajikan dan kemasyarakatan.
~SUMBER MAIPs~