MAIPs STAFF MENU
Please click Log in button above to enter MAIPs staff menu section.
Selangr, Serdang ,30 Oktober 2019 - Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan pelaksanaan ‘Majlis Simbolik Pecah Tanah Padang Besbol Universiti Putra Malaysia (UPM)’ di Pusat Sukan UPM Serdang, Selangor baru-baru ini.
Keberangkatan tiba baginda ke majlis yang dianjurkan secara bersama oleh pihak UPM dan Persekutuan Besbol Malaysia (BFM) itu disambut oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPM, Prof. Mohd. Roslan Sulaiman.
Turut hadir ialah Pendaftar UPM yang juga Presiden BFM, Datuk Wan Azman Wan Omar, Ketua Pusat Sukan UPM merangkap Timbalan Presiden BFM, Dr. Hanafiah Ayub serta tenaga jurulatih dari Jepun, Amerika Syarikat dan Kanada.
Baginda yang juga merangkap Penaung DiRaja kepada Persekutuan Besbol Malaysia (BFM) mengucapkan tahniah kepada Universiti Putra Malaysia atas usaha gigih dan komitmen untuk membangunkan sukan ini supaya diminati oleh pelajar-pelajar sekolah, mahasiswa Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan masyarakat setempat.
Baginda juga berharap agar usaha untuk membangunkan sukan ini diteruskan dan akan lebih berjaya setelah adanya fasiliti baru ini kelak.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berasa gembira atas usaha dan inisiatif yang dilaksanakan oleh UPM bersama Persekutuan Besbol Malaysia dalam menyediakan pelbagai program pembangunan sukan Besbol di UPM dan sekolah-sekolah angkat negeri Selangor selain turut memuji usaha yang dilaksanakan Universiti Putra Malaysia untuk membina kerjasama dengan pelbagai pihak bagi mendapatkan sokongan sama ada di dalam negara atau luar negara.
Kerjasama dengan pihak industri bukan sahaja dapat menambah nilai kepada program pembangunan sukan Besbol, ia juga mampu memberi peluang sukan ini bertapak kukuh di Universiti Putra Malaysia pada masa hadapan.
Sebagai contoh, Universiti Putra Malaysia dan Persekutuan Besbol Malaysia juga telah mengadakan kerjasama strategik dengan Kelab Seibu Lions dari Jepun dan adalah diharapakan ada lebih banyak kerjasama dengan pihak industri yang lain di masa hadapan.
Sebagai sebuah IPT yang hebat di dalam bidang sukan dan akademik, Universiti Putra Malaysia hendaklah terus berusaha bersungguh-sungguh untuk menempatkan sukan Besbol di dalam takwim Kejohanan. Melalui penganjuran kejohanan, latihan-latihan kepegawaian serta ‘talent scouting’, baginda yakin usaha meletakkan sukan Besbol setara dengan sukan-sukan yang lain di negara ini akan membuahkan hasil dengan peningkatan plan tindakan dalam pembangunan sukan Besbol di Universiti Putra Malaysia dan negara.
Turut diadakan ialah pemeteraian ‘Memorandum of Understanding (MoU) di antara Universiti Putra Malaysia dan Persekutuan Besbol Malaysia’ yang disaksikan baginda.
Terdahulu, dalam ucapan alu-aluan beliau, Roslan berkata, “stadium khas besbol ini merupakan yang pertama seumpamanya di sebuah institusi pengajian tinggi dan negara.
“UPM juga telah memeterai perjanjian persefahaman dengan BFM untuk membangunkan sukan besbol di Malaysia selain bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan dalam soal penyertaan pelajar-pelajar sekolah, Majlis Sukan Negara, Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun dan kedutaan negara itu.
“Fasiliti stadium bakal tersergam di tanah UPM seluas 4.45 hektar ini dijangka dapat digunakan secara pesat pada pelbagai peringkat kejohanan sekali gus menjadikan UPM pusat pembangunan sukan besbol negara mahupun antarabangsa.”.
Untuk rekod, Malaysia pernah bersaing di dalam sukan besbol di Temasya Sukan SEA 2011 yang lalu.
~SUMBER MAIPs~