MAIPs STAFF MENU
Please click Log in button above to enter MAIPs staff menu section.
Kangar, 29 Okt. 2019 - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) telah menyediakan peruntukkan wang agihan zakat khusus Bantuan Zakat Persekolahan MAIPs Tahun 2020 sebanyak RM3,951,000 untuk diagihkan kepada pelajar miskin.
Seramai 5,840 pelajar sekolah rendah dan 7,330 pelajar sekolah menengah menjadikan seramai 13,170 pelajar seluruh Perlis akan mendapat bantuan zakat MAIPs untuk persediaan sesi persekolahan tahun 2020.
Setiap pelajar akan menerima agihan RM300 seorang. Ia akan disalurkan melalui kerjasama pengurusan sekolah dan pihak PIBG.
Kaedah Bantuan Persekolahan MAIPs Tahun 2020 adalah melalui sumbangan RM200 bagi tujuan pembelian Pakaian Sekolah dan buku yang akan diuruskan oleh pihak sekolah selain sumbangan RM100 tunai yang akan diberikan kepada para ibu bapa pelajar atau penjaga.
Untuk Pembelian pakaian sekolah, MAIPs telah menetapkan Garis Panduan Pembelian Pakaian Persekolahan Untuk Pelajar yang menerima Bantuan Persekolahan MAIPs dan pihak sekolah hendaklah mengikut ketetapan Garis Panduan tersebut.
Adalah diharapkan agar sumbangan ini dapatlah diagihkan sebelum bermulanya cuti sekolah bagi membantu para pelajar membuat persediaan sebelum bermulanya sesi persekolahan tahun 2020.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat merasmikan ’Majlis Penyerahan Bantuan Persekolahan MAIPs Tahun 2020’ yang diadakan di perkarangan Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail di Kangar petang ini.
Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Hj Mohd Nazim Mohd Noor dan Pengarah Pendidikan Negeri Perlis, Hj Izmi Ismail.
Baginda yang juga merangkap Yang DiPertua MAIPs turut menaruh harapan agar setiap rumah asnaf di negeri Perlis ini akan mempunyai seorang anak yang mempunyai sekurang-kurangnya pengajian di peringkat diploma dan sama-samalah kita berdoa serta berusaha bagi merealisasikannya.
~SUMBER MAIPs~