MAIPs STAFF MENU
Please click Log in button above to enter MAIPs staff menu section.
KUALA LUMPUR, 24 Okt. 2019 (Khamis) - Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalullail menegur sikap segelintir masyarakat yang tidak menunjukkan kematangan pemikiran seiring usia kemerdekaan negara yang mencapai 62 tahun.
Baginda bertitah, hal itu jelas apabila sebahagian anggota masyarakat menggunakan perkembangan teknologi untuk menghina institusi diraja di negara ini.
“Mereka tidak memikirkan kesan dan akibat daripada perbuatan itu. Meskipun ada tangkapan dibuat, kes penghinaan terhadap institusi diraja masih berterusan,” titah baginda.
Baginda bertitah ketika merasmikan Seminar Institusi Raja (SIRaj-VI) di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, hari ini.
Yang turut berangkat, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra.
Yang turut hadir, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Sim Chee Keong; Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof Datuk Dr Mohamad Hatta Shaharom; Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Salehuddin Abang Shoekran dan Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), Prof IR TS Dr R Badlishah Ahmad.
Tegas baginda, cabaran sebegitu kadang-kala memperkecilkan dan memperkotak-katikkan peranan istana.
“Sejak sekian lama dalam tempoh sejarah Melayu, hal ini berlaku tetapi ia berterusan tanpa mengambil kira peranan penting institusi itu,” titah baginda.
Baginda menegaskan raja ialah ketua agama dan adat istiadat Melayu dengan peranan serta kuasa itu tidak pernah dinafikan meskipun ketika zaman penjajahan.
Namun, walaupun institusi diraja memelihara kepentingan dan hak orang Melayu, ia turut bertanggungjawab menjaga serta memelihara hak dan kepentingan kaum lain.
“Saya menyeru kepada semua rakyat menyedari institusi diraja dan sistem beraja sentiasa relevan dan sumber kekuatan rakyat tanpa mengira bangsa, umur atau latar pendidikan.
“Malah ia adalah pelengkap sistem pentadbiran negara ini,” titahnya.
Pada majlis sama, baginda turut berkenan melancarkan buku bertajuk, Raja dan Rakyat Berpisah Tiada susunan Hanum Hassan dan Nurul Ashikin Abdul Halim terbitan bersama DBP dan UNIMAP.
Buku setebal 220 halaman itu, berharga RM50 untuk kulit keras dan RM40 (kulit nipis).
~SUMBER BERITA HARIAN ONLINE~