MAIPs STAFF MENU
Please click Log in button above to enter MAIPs staff menu section.
Kangar, 23 Oktober 2019 - Umat Islam perlu sentiasa bersedia menghadapi cabaran semasa khususnya yang membabitkan ekonomi global.
Sehubungan itu, kajian-kajian yang telah dikeluarkan bersumberkan maklumat yang sahih hendaklah dijadikan rujukan dalam merencana perancangan umat Islam semasa. Contohnya, menurut Laporan Perdagangan dan Pembangunan 2019 yang dikeluarkan oleh Persidangan Perdagangan dan Perdagangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations Conference on Trade and Development – UNCTAD), menjunjukkan tanda-tanda amaran mula terbit melalui persekitaran ketegangan perdagangan, pergerakan mata wang, hutang korporat, ketiadaan kesepakatan dalam Brexit dan sebagainya.
Perkara ini haruslah dilihat dalam konteks keperluan untuk umat Islam berinteraksi dengan kemelut ekonomi dunia yang bakal mendekati. Di saat inilah umat Islam harus berusaha mencari jalan ke arah memperteguh sumber sedia ada serta berusaha mengurangkan kebergantungan kepada pemain ekonomi global ke arah menjamin kestabilan dalam negara.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat mempengerusikan Mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kali yang ke 6 bagi tahun 2019 di Dewan Kulliyah MAIPs di Kangar pada pagi semalam.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Hj Mohd Nazim Mohd Noor.
Di akhir mesyuarat, baginda mewakili MAIPs berkenan menerima mock cek sumbangan zakat daripada Menteri Besar Diperbadankan (MBI) Perlis berjumlah RM994,049.30 yang dipersembahkan oleh Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Zulkafli Ahmad.
Baginda yang juga merangkap Uang DiPertua MAIPs turut menambah bahawa telah tiba masanya untuk negara-negara Islam berkongsi kepakaran dan sumber bagi menjamin kesejahteraan bersama. Selain itu, penumpuan kepada usaha meningkatkan pekerjaan, upah dan pelaburan awam hendaklah dipertingkatkan bagi menggantikan obsesi penggubal dasar ke atas harga saham, pendapat suku tahunan dan keyakinan pelabur.
Dalam konteks ini, MAIPs dilihat berpotensi memainkan peranannya, dalam membawa keseimbangan ekonomi kepada negeri dan negara, selari dengan fungsi dan kewajipan terhadap kemajuan ekonomi dan sosial umat Islam selaras dengan hukum syarak