Pejabat SUK perlis

Majlis Agama Dan Istiadat Melayu Perlis - Raja Muda Perlis Lancar Buku Salasilah Perlis di Jerman n

MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT ISTIADAT MELAYU PERLIS

Log Masuk

A- A A+
WARGA MAIPs

MAIPs STAFF MENU

Please click Log in button above to enter MAIPs staff menu section.

ORANG AWAM
PERKHIDMATAN
MUAT TURUN
Raja Muda Perlis Lancar Buku Salasilah Perlis di Jerman

Raja Muda Perlis Lancar Buku Salasilah Perlis di Jerman

/ Berita Terkini MAIPs / Jumaat, 18 Oktober 2019 09:09

KANGAR, 17 Okt 2019 - Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail hari ini melancarkan buku berjudul “Salasilah Perlis: Transliterasi Dan Analisis” di Pavilion Malaysia sempena Pesta Buku Antarabangsa Frankfurt (Frankfurt Buchmesse) 2019 di Jerman.

Buku itu diterbitkan melalui kerjasama Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) dan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Tuanku Syed Faizuddin yang dihubungi Bernama berkata baginda dalam titah ucapannya menzahirkan rasa bangga atas penerbitan sebuah buku sejarah negeri Perlis yang pertama berpandukan fakta-fakta sebuah manuskrip Melayu yang berada dalam koleksi Pusat Dokumentasi Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sejak tahun 1963 lagi.

Titah baginda, buku yang dianggap Lost Manuscript itu dengan kod katalog MS85 telah dipulihara oleh pihak DBP sebelum diterbitkan selepas separuh abad, mengabadikan suka duka dalam liku-liku perjuangan Wangsa Jamalullail dan segenap lapisan rakyat untuk mengasaskan negeri Perlis yang berdaulat dan merdeka.

“Sesungguhnya karya ini merupakan manifestasi warisan sejarah, mercu tanda kesusasteraan dan penanda aras kebudayaan anak watan Perlis,” titah baginda.

“Peristiwa sebegini amatlah bersejarah kepada saya sendiri sebagai Raja Muda Perlis merangkap Yang Dipertua Majlis MAIPs”, titah baginda.

Baginda turut berharap agar dengan penerbitan buku ini para penyelidik khasnya dan seluruh dunia umumnya akan memperoleh sumber rujukan dari kaca mata anak watan yang bersifat ‘Perlis sePerlisnya’.

Sementara itu, keberangkatan tiba Tuanku Syed Faizuddin di tapak pesta buku itu disambut oleh Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom dan Ketua Pengarahnya Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran.

Hadir sama, Konsul Jeneral Malaysia di Frankfurt, M. Mukundan dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

Dalam pada itu baginda juga mengucapkan penghargaan kepada para penulis iaitu Dr Hazman Hassan (Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) dan Mohd Kasturi Nor Abd. Aziz (Pensyarah Universiti Malaysia Perlis - UniMAP), DBP, MAIPs dan semua pihak yang telah berusaha keras bagi menjadikan penerbitan buku ini sebagai suatu kenyataan.

Pameran Buku Frankfurt ini merupakan antara pameran buku terbesar dunia yang diadakan pada bulan Oktober setiap tahun dan dilangsungkan selama lima hari bermula 16 hingga 20 Okt 2019 di Frankfurter Messe (Frankfurt Trade Fair), Frankfurt Am Main, Jerman.

~BERNAMA~

Please publish modules in offcanvas position.

splwpk-procurement splwpk-online-e-participation Dasar Privasi

Dasar Privasi

Dasar Privasi

Penafian

MYHRMIS MOBILE