MAIPs STAFF MENU
Please click Log in button above to enter MAIPs staff menu section.
ARAU, 14 Oktober 2019 -Pasukan Perlis A muncul juara bagi kategori ‘Terbuka Pertandingan Stroke Berpasukan Lelaki’ dan pasukan tuan rumah Perlis juga turut menjuarai kategori Terbuka dalam Pertandingan kategori ‘Stroke Berpasukan Wanita’ di dalam Kejohanan Woodball Terbuka Perlis dan Jemputan Antarabangsa kali ke-2 tahun 2019’ yang berlangsung selama 3 hari bermula 11-13 Oktober 2019 di Laman Woodball Kompleks Sukan Tuanku Syed Faizuddin Putra Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perlis dan Kolej Matrikulasi Perlis di Arau.
Majlis penutupan dan penyampaian hadiah kejohanan yang dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dengan kerjasama Persatuan Woodball Negeri Perlis (PWNPs) tersebut menyaksikan penyertaan seramai 295 orang pemain dari seluruh Malaysia dan turut melibatkan penglibatan tiga buah negara jiran iaitu Thailand, Indonesia dan Singapura.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Penaung DiRaja PWNPs dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menutup kejohanan dan seterusnya menyampaikan hadiah-hadiah kepada para pemenang utama dalam majlis yang disekalikan dengan ‘Pra Pelancaran Promosi Tahun Melawat Malaysia 2020 Peringkat Negeri Perlis’ di Dewan Semarak Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perlis, Arau pada malam semalam.
Hadir sama, Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Presiden Persatuan Woodball Negeri Perlis, Prof Emeritus Datuk Dr Ir Kamarudin Hussin.
Sebanyak 15 kategori lain turut dipertandingkan dalam kejohanan yang juga menjadi persiapan untuk negeri Perlis menjadi tuanrumah Kejohanan Woodball Piala Dunia (WCWC 2020) tahun hadapan pada kali ini.
Antaranya, kategori Novis Beregu Campuran dimenangi oleh pasukan Kolej Matrikulasi Perlis, kategori Novis Beregu Wanita dirangkul oleh pasukan UniMAP, kategori Novis Beregu Lelaki dijuarai oleh pasukan Kelab Woodball Arau A, kategori Novis Pertandingan Stroke Pasukan Wanita dimenangi oleh pasukan Kolej Matrikulasi Perlis dan kategori Novis Pertandingan Stroke Pasukan Lelaki dibawa pulang oleh pasukan Perlis Juniors.
Untuk kategori Terbuka Beregu Campuran diduduki oleh pasukan Perlis A, bagi kategori Terbuka Beregu Wanita dimenangi oleh pasukan Singsongkhla A, kategori Terbuka Beregu Lelaki dirangkul oleh pasukan Pekan Pahang B.
Seterusnya Salbiah Hashim dari pasukan Kolej Matrikulasi Perlis menjadi Johan kategori Novis Pertandingan Stroke Individu Wanita, disusuli Kittiwut Singsun dari pasukan Singsongkhla A Thailand menjadi Johan kategori Novis Pertandingan Stroke Individu Lelaki.
Manakala bagi kategori Terbuka Pertandingan Stroke Individu Wanita dimenangi oleh Klissana Khaodee dari pasukan Singsongkhla A Thailand, diikuti oleh kategori Terbuka Pertandingan Stroke Individu Lelaki dirangkul pula oleh Hasfizal Samad juga dari pasukan Perlis A.
Untuk kategori Terbuka Pertandingan Fairway Beregu Campuran dirangkul oleh pasukan Singsongkhla Thailand, manakala Klissana Khaodee dari pasukan Singsongkhla Thailand menjadi Johan untuk kategori Terbuka Pertandingan Fairway Individu Wanita dan Azizan Zainol dari pasukan Perlis berjaya merebut gelaran Johan bagi kategori Terbuka Pertandingan Fairway Individu Lelaki.
Bagi acara khas Novelti ‘Gate In One’ pula, untuk kategori Terbuka Gate 8 UiTM dimenangi oleh Lukman Ahmad dari Kuala Rompin Pahang yang berjaya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM500.00. Seterusnya kategori Terbuka Gate 23 Kolej Matrikulasi Perlis dirangkul oleh Datuk G Sandra Sekaran dari Metropolitan KL dan juga Kamol Chusan dari Satun Thailand, masing-masing berkongsi hadiah wang tunai berjumlah RM500.00.
Bagi kategori Novis Gate 23 Kolej Matrikulasi dibolosi oleh Jasni Saad dari Kolej Matrikulasi Perlis dan Zuraini Ismail dari Kolej Matrikulasi Perlis, juga turut berkongsi hadiah wang tunai berjumlah RM500.00.
Pelbagai kejohanan lain turut dianjurkan bagi menggilap bakat anak Perlis dalam permainan woodball antaranya Pertandingan Woodball Tuanku Syed Faizuddin Putra anjuran PWNPs dan Pertandingan Woodball Antara Agensi Agama Islam Perlis anjuran MAIPs.
~MAIPs~