wball-2
 

Keberangkatan tiba baginda ke program yang dianjurkan oleh Persatuan Woodball Negeri Perlis (PWNPs) itu disambut oleh Presidennya Prof Emeritus Datuk Dr Ir Kamarudin Hussin dan Timbalan beliau Zaharin Haris.

Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Azman Yusof serta ketua-ketua jabatan kerajaan Negeri dan Persekutuan.

Dalam titah ucapan baginda Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap penaung diraja persatuan dan pengasas sukan berkenaan di negeri Perlis begitu berbangga kerana sukan ini yang kini sudah menapak di negeri ini sejak sembilan tahun yang lalu, bukan sahaja menjadi satu agenda riadah dalam kalangan penjawat awam tetapi menjadi wadah mengintegrasikan peranan dan fungsi antara jabatan dan agensi kerajaan di negeri ini.

Di samping bermain, para pemain boleh berinteraksi, bertukar-tukar fikiran dan saling membantu menyelesaikan isu dan masalah berbangkit yang melibatkan tindakan bersilang antara jabatan dan agensi. 

“Alhamdulillah, berbagai aktiviti diadakan di negeri ini bagi membuka ruang dan peluang para pegawai kanan berinteraksi bagi menyelesaikan isu bersama.

“Sedikit sebanyak ini dapat mengurangkan tatacara birokrasi yang menjadi ‘tembok’ pemisah antara jabatan dan agensi. Banyak isu dapat diselesaikan dengan adanya persefahaman dan interaksi yang sihat dan konstruktif,” titah baginda.

Tuanku Raja Muda juga berharap semoga sukan woodball ini terus mengintegrasikan semua jabatan ke arah mewujudkan satu jentera pengurusan dan pentadbiran organisasi kerajaan yang lebih cekap dan berkesan melalui jaringan sosial yang bersih dan sihat,

Terdahulu, Kamarudin memaklumkan bahawa sebanyak 40 buah pasukan bertanding dalam pertandingan kali ini yang berlangsung dari bulan Februari hingga Oktober dan melibatkan penyertaan seramai 652 orang pemain yang berdaftar.

Sebagai makluman, negeri Perlis melalui kerjasama pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) juga akan menjadi tuan rumah kepada satu lagi kejohanan terdekat sebagai ujian lapangan ke arah penganjuran ‘The 9th World Cup Woodball Championship (WCWC) 2020’ yang hanya tinggal 292 hari sahaja lagi sebelum bernula iaitu ‘Perlis International Invitational Open Woodball Championship 2019’ yang bakal berlangsung pada 11 hingga 13 Oktober ini dan akan turut disertai oleh para peserta dari negara jiran seperti Thailand, Singapura dan Indonesia.

~UTUSAN ONLINE~