Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Penaung Diraja Persatuan Woodball Negeri Perlis berkenan berangkat menyampaikan Piala Pusingan, wang tunai sebanyak RM2,000 dan medal di majlis tersebut.

Tempat ketiga dan keempat diungguli oleh Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) Negeri Perlis.

Keberangkatan baginda disambut oleh Presiden Persatuan Woodball Negeri Perlis, Prof Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin.

Pertandingan terbahagi kepada dua kategori kejohanan iaitu Liga Piala Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Liga Novis tersebut telah bermula sejak 24 Februari lalu. Ia melibatkan penyertaan 40 buah jabatan-jabatan Kerajaan Negeri Perlis dan disertai oleh 652 orang pemain berdaftar. 

Sementara itu, dalam Piala Novis pula, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis muncul juara, Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di tempat kedua, Pejabat DYMM Tuanku Raja Perlis (Ketiga) dan Rejimen 504 Askar Wataniah (Keempat).

Turut dilaksanakan ialah ‘Bengkel Pengenalan Sukan Woodball’ selama dua hari sebagai pendedahan dan pembelajaran teknik kepada Ketua-Ketua Jabatan Kerajaan Negeri Perlis yang baharu di lokasi yang sama.

Kejohanan ini turut dimeriahkan dengan ‘Perlawanan Persahabatan Antara Ketua-Ketua Jabatan Negeri Perlis’ yang diadakan sebelum majlis penutup berlangsung yang turut disertai 30 peserta termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Azman Mohd Yusof dan dimenangi oleh Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Perlis, Ruhisha Haris sebagai johan dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr Sirajuddin Hashim sebagai naib johan.

Pertandingan edisi ke empat iaitu bagi tahun 2020 akan bermula pada awal bulan Januari nanti.

~UTUSAN ONLINE~