Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Timbalan Komander Rejimen, Leftenan Kolonel Mohamad Zaidi Ishak serta para pegawai kanan rejimen berkenaan

Para tetamu yang hadir menyaksikan persembahan ‘Kawad Senyap’ oleh para anggota tetap dan kerahan rejimen itu sebagai gimik pelancaran sambutan sebelum upacara memotong pulut kuning yang disempurnakan oleh Tuanku Raja Muda.

Selepas selesai majlis, baginda diiringi para pegawai dan anggota lain-lain pangkat rejimen beserta ketua-ketua jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan mengambil bahagian dalam program berbasikal yang disekalikan dengan aktiviti ‘MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf’ kali ke 64 bagi tahun 2019 ini dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Bersempena kayuhan tersebut, selain menyerahkan agihan zakat MAIPs yang masing-masing menerima RM600 kepada 34 orang asnaf terpilih di sekitar kawasan dilalui, baginda turut berkenan merasmikan ‘Projek Peningkatan Sosio-Ekonomi Asnaf MAIPs berupa sebuah perusahaan katering oleh Shazaliza Abu Yazid (No Tel: 0175159258) beralamat di No 11 Jalan Kasa Jusoh, Bukit Keteri yang telah menerima sumbangan daripada MAIPs berjumlah RM1,380 sebagai bantuan untuk membeli peralatan dapur.

Selepas program itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Tuanku Komander rejimen menitahkan bahawa pasukan itu yang telah mula diwujudkan pada 7 September 1981 akan memastikan mutu kepimpinan para pegawai dan anggotanya akan sentiasa cuba diperkukuhkan.

Antara perkara yang akan dititikberatkan dan dipertingkatkan lagi ialah asas seperti ‘Know Your Man’ pada setiap peringkat terhadap ‘Chain of Command’ atau rangkaian pemerintahan dalam organisasi.

Elemen-elemen ini perlu dipupuk dari peringkat bawah hinggalah ke paling atas.

Pada masa yang sama, menyedari segala kekangan yang ada, Timbalan Komander rejimen itu akan sentiasa bekerjasama dengan pihak Briged dan komponen briged berkenaan untuk memaksimakan segala penggunaan fasilitas latihan sedia ada, serta akan cuba mendapatkan slot untuk menghantar para anggotanya menyertai latihan bersama angkatan tetap apabila dilaksanakan di peringkat briged dan komponen-komponennya dari masa ke semasa.

 

~UTUSAN ONLINE~