Pejabat SUK perlis

Majlis Agama Dan Istiadat Melayu Perlis - USM perlu terus cari strategi baharu untuk kekal relevan - Canselor USM n

MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT ISTIADAT MELAYU PERLIS

Log Masuk

A- A A+
WARGA MAIPs

MAIPs STAFF MENU

Please click Log in button above to enter MAIPs staff menu section.

ORANG AWAM
PERKHIDMATAN
MUAT TURUN
USM perlu terus cari strategi baharu untuk kekal relevan - Canselor USM

USM perlu terus cari strategi baharu untuk kekal relevan - Canselor USM

/ Berita Terkini MAIPs / Isnin, 23 September 2019 12:20
 

GEORGE TOWN, 23 Sept -- Universiti Sains Malaysia (USM) perlu terus berdaya saing dan mencari strategi baharu bagi memastikan institusi itu kekal relevan pada masa hadapan selepas 50 tahun penubuhannya, titah Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Baginda yang merupakan Canselor USM bertitah pihak universiti perlu mula merancang bagaimana USM dapat melakar senario pada masa akan datang di sebalik perubahan dunia yang serba mencabar.

"Semua ini harus kita mulakan sekarang agar krisis yang melanda dunia pendidikan dapat kita atasi dan budaya keilmuan yang jitu dapat kita bawa kembali. Budaya keilmuan yang jujur sifatnya dan mengatasi kepentingan peribadi adalah penting agar ilmu dapat benar-benar menjadi penyuluh kebenaran.

"Budaya sedemikian juga membawa keseimbangan terhadap kemajuan teknologi dan peradaban manusia yang berteraskan kesopanan dan kesusilaan, saling percaya mempercayai dan saling bantu membantu agar manfaat ilmu dapat dikongsikan bersama," titah baginda pada Upacara Konvokesyen Komemoratif sempena ulang tahun ke-50 universiti itu di sini, hari ini.

Turut berangkat Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid. Turut hadir Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dan Naib Canselor USM Prof Datuk Dr Asma Ismail.

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah USM telah membuktikan keunggulannya dan terkenal di serata dunia sepanjang 50 tahun penubuhannya.

Berkongsi sejarah penubuhan USM, baginda bertitah untuk membina universiti itu pada sekitar tahun 1960-an bukan satu tugas yang mudah kerana ia menuntut keberanian dan banyak pengorbanan memandangkan ketika itu negara berada dalam keadaan serba kekurangan.

"Namun, ketika mantan Perdana Menteri yang juga Bapa Kemerdekaan Tunku Abdul Rahman mengumumkan akan penubuhan sebuah universiti di Pulau Pinang, rakyat di negara ini dan negara di sekitar Asia berada dalam keadaan yang girang memikirkan akan potensi universiti yang akan dibina ini.

 


"Ramai cerdik pandai dari universiti dalam dan luar negara termasuk nama-nama besar seperti Cambridge dan Yale menyatakan sokongan dan dokongan yang tidak berbelah bahagi agar universiti ini ditubuhkan. Asasnya kukuh kerana idea penubuhannya telah difikirkan sekian lama sejak tahun 1950-an lagi.

Baginda turut menzahirkan ucapan tahniah dan syabas kepada USM dan berharap perjalanan universiti itu untuk 50 tahun akan datang dipenuhi dengan sumbangan impak ke arah dunia yang lebih sejahtera.

Pada majlis itu, Tuanku Syed Sirajuddin berkenan menganugerahkan Anugerah Khas Kelestarian Canselor USM kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Selain Dr Mahathir, baginda turut berkenan menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Sains Sukan kepada tokoh sukan negara Datuk Nicol Ann David, Ijazah Kehormat Doktor Sains kepada pemegang Hadiah Nobel bidang Fizik pada tahun 2014 Profesor Shuji Nakamura dan Ijazah Kehormat Sarjana Pentadbiran Awam kepada bekas Pendaftar Wanita Pertama USM Datuk Siti Mazenah Saad.

Pada tahun ini, 6,338 graduan akan menerima ijazah masing-masing termasuk tiga penerima Ijazah Kehormat, Profesor Emiritus (4), Ijazah Doktor Falsafah (508), Ijazah Sarjana (1,564), Ijazah Sarjana Muda (4,266), dan Diploma Kejururawatan (45).

Upacara konvokesyen USM bermula hari ini sehingga 29 Sept ini. 

-- BERNAMA

Please publish modules in offcanvas position.

splwpk-procurement splwpk-online-e-participation Dasar Privasi

Dasar Privasi

Dasar Privasi

Penafian

MYHRMIS MOBILE