UniMAP sejak mula pada tahun 2002 atas nama Kolej Universiti Kejuruteraan Utara Malaysia (KUKUM) juga telah membuktikan bahawa ia mampu beroperasi seolah-olah sebuah unit keluarga dan keunikan ini perlu terus dipelihara dengan cara yang hebat harus terus diberi galakan manakala yang kurang pula dibimbing dan diberikan motivasi sehingga menjadi cemerlang.

Pada masa yang sama, dalam menjayakan sesuatu yang berimpak tinggi untuk universiti, sebarang isu kekangan kewangan dan kekurangan tenaga kerja hendaklah dipastikan bukan menjadi alasan untuk tidak dapat melaksanakannya. Penyelesaian terbaik perlu dicari dalam kadar yang pantas dan hanya melalui jalan kerja seperti ini UniMAP akan terus gemilang.

Selain daripada itu, identiti dan imej koprat UniMAP yang sudah menjadi lambang kebangaan kepada setiap warganya baik staf mahupun pelajar hendaklah dipastikan mekanisma kawalannya diperkasakan lagi dari masa kesemasa.

Sehubungan itu Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menerima sembah mengadap hormat oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang baharu, Raja Datuk Azwane Raja Arif yang diadakan di Library Lounge, Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra UniMAP di Kampus Alamnya di Pauh Putra baru-baru ini.

Turut hadir ialah Naib Canselor, Prof Dr R Badlishah Ahmad, Pendaftar, Mohd Saad Din dan Penolong Pendaftar Kanan, Kapten Muhamad Azuan Mohamad Nasir.

Baginda yang juga merangkap Tuanku Canselor UniMAP turut meminta Pengerusi LPU baharu universiti teknikal berfokuskan kejuruteraan dan teknologi itu melihat dari sudut mengembangkan perniagaan yang boleh memberi pulangan kewangan kepada universiti samada secara langsung atau melalui anak-anak syarikatnya kerana UniMAP mempunyai kepakaran para pensyarah yang berpengalaman dalam bidang perniagaan di PPIPT untuk mendapatkan pandangan.

Selepas majlis itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menitahkan ucapan penghargaan kepada tokoh yang cukup banyak berjasa kepada universiti berkenaan bekas Pengerusi LPU iaitu Datuk Prof Emeritus Dr Kamarudin Hussin yang tamat perkhidmatan pada 31 Julai yang lalu di atas kepimpinan serta komitmen beliau dan berharap beliau akan dapat terus menaburkan bakti kepada universiti dalam kapasiti yang lain selepas ini.