MAIPs STAFF MENU
Please click Log in button above to enter MAIPs staff menu section.
KUALA PERLIS 6 Sept. - Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan bahawa bersempena dengan bulan kemerdekaan ini, aktiviti-aktiviti sukan dan riadah juga mampu membangunkan jiwa patriotisme dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum.
Sukan menjadi sebuah landasan pintar bagi memangkin semangat kenegaraan dan semangat kebersamaan tanpa mengira latar belakang seseorang.
Bidang sukan juga telah banyak berjaya dan mengharumkan nama negara di peringkat dunia dan ini membuktikan kita mampu menyerlah dan memberikan saingan yang hebat di peringkat antarabangsa apabila kita bersatu hati dan memiliki semangat cintakan negara yang tinggi.
Demikian titah baginda selepas berkenan berangkat mengambil bahagian di dalam Program Kayuhan berbasikal MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf kali ke 59 bagi tahun 2019 yang diadakan mengambil sempena ‘Tahun Maal Hijrah 1441’ yang bermula dan berakhir di perkarangan Masjid Abu Bakar As Siddiq, Kg Seberang Ramai, Kuala Perlis.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Hj Mohd Nazim Mohd Noor.
Tuanku Syed Faizuddin Putra seperti tahun-tahun sebelum ini berkenan meninjau persiapan pasukan-pasukan perahu panjang di beberapa buah kampung di Kuala Perlis. Antara yang dilawati ialah Pulau Ketam (Perahu Nagasari dan Ular Lidi), Kg Seberang Alor Jaya (Perahu Tok Perak dan Katak Puru), Kg Tengah (Perahu Lang Mas, Lang Putih dan Cempaka), Kg Hujung Tanjung (Perahu Bujang Senang dan Anak Buaya), Kg Baru Seberang (Perahu Taming Sari dan Laksamana Tuah) serta Kg Tandiap (Perahu Tok Adam dan Anak Adam).
Menyentuh mengenai Pesta Air Kuala Perlis 2019 yang akan berlangsung di Kompleks LKIM Kuala Perlis pada sabtu dan ahad, 7 dan 8 September 2019, baginda menasihatkan agar semua masyarakat Kuala Perlis keluar beramai-ramai memberikan sokongan moral kepada pasukan masibg-masing dengan penuh semangat kesukanan. Pada masa yang sama baginda memohon kerjasama danjasa baik kesemua warga Kuala Perlis untuk dalam tempoh sehari dua ini melipatgandakan usaha masing-masing untuk membersihkan sekitar premis rumah dan juga kedai masing-masing untuk memastikan setiap pengunjung yang datang dari luar untuk menghadiri pesta tahunan tersebut mempunyai persepsi yang cukup baik terhadap Kuala Perlis secara khususnya dan negeri Perlis secara amnya.
Sempena kayuhan tersebut Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan merasmikan projek peningkatan sosio ekonomi usahawan asnaf MAIPs berupa perusahaan membuat kerepek oleh Saidon Man, 63 tahun (No Tel: 0195968753). Sejak mula beroperasi dalam tahun 2014, MAIPs telah menyalurkan sumbangan berupa modal peralatan dan modal pusingan berjumlah penuh sebanyak RM17,436.00.
Terdahulu daripada itu baginda dan ahli kayuhan turut singgah di Surau Kampung Seberang Ramai (Masjid Lama Seberang Ramai) bagi menyampaikan sumbangan agihan zakat MAIPs berjumlah RM600 setiap seorang untuk 30 orang asnaf terpilih di situ
~UTUSAN ONLINE~