Titah baginda, kebelakangan ini, fitnah dan hasutan adalah kaedah mudah yang digunakan dalam zaman teknologi maklumat ini.

Baginda bertidah, mereka yang tidak bertanggungjawab ini sentiasa mencari peluang memainkan pelbagai isu sensitif yang bersifat keagamaan atau pun perkauman untuk membakar dan menimbulkan kemarahan rakyat.

"Sehubungan itu, beta ingin menyeru agar rakyat kembali menghayati kandungan Perlembagaan dan Rukun Negara. Ini penting demi memelihara kedaulatan dan keharmonian negara.

"Perlembagaan dan Rukun Negara adalah asas atau tunjang kepada pembentukan negara dan pembinaan rakyat yang bersatu-padu. Semoga negara kita terus merdeka, dihormati dan disegani di mata dunia," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Kebangsaan 2019 peringkat negeri ini di Stadium Tuanku Syed Putra di sini, malam tadi.

Berangkat sama, Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid; Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lai­latul Shahreen Akashah Khalil.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man dan barisan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Sambutan Hari Kebangsaan 2019 peringkat negeri yang buat kali keempatnya diadakan pada sebelah malam berlangsung dalam suasana yang meriah dan gemilang.

Stadium yang mampu memuatkan lebih 20,000 orang itu penuh sesak dengan kehadiran rakyat pelbagai kaum bagi menyaksikan pelbagai aktiviti menarik.

Sementara itu, Tuanku Syed Sirajuddin bertitah, keamanan dan ketenteraman yang dikecapi oleh rakyat di negara ini tidak datang dengan sendiri sebaliknya hasil daripada peranan penting yang dimainkan oleh anggota keselamatan.

"Kita harus menghargai pengorbanan setiap anggota pasukan keselamatan dalam mengekalkan kedaulatan negara," titah baginda.- UTUSAN ONLINE