MAIPs STAFF MENU
Please click Log in button above to enter MAIPs staff menu section.
KUALA PERLIS, 28 Ogos -- Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan agar masyarakat beragama Islam berpegang teguh kepada sumber wahyu Al-Quran dan Al-Sunnah untuk berhadapan dengan cabaran kontemporari dunia pada masa ini dan masa akan datang.
Titah baginda, semakin berkembang teknologi, semakin tinggi cabaran serta risiko yang bakal berlaku dan segala bentuk fitnah mudah tersebar terutamanya di laman-laman sosial.
"Islam sentiasa menggalakkan umatnya bertindak dan berubah ke arah kebaikan dengan melakukan perubahan dalam diri, sekaligus mengangkat kedudukan ke arah lebih baik," titah baginda ketika berkenan merasmikan ‘Persidangan Antarabangsa Pengajian Islam 2019 anjuran Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) bertemakan ‘Isu Sunnah Dalam Menghadapi Cabaran Kontemporari' di Dewan Brasmana, Hotel Putra Brasmana, di sini, hari ini.
Baginda merangkap Canselor KUIPs turut menambah ilmu dan kejayaan yang dikecapi hari ini perlulah dimanfaat dengan sebaiknya kepada masyarakat, disampaikan kepada masyarakat dengan rasa rendah diri, berhemah, dan menghindari sifat riak.
Persidangan kali pertama itu dengan kerjasama Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Jabatan Mufti Perlis, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis dan Universiti Islam Malaysia (UIM).
Berangkat sama pada majlis itu Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Turut hadir Rektor KUIPs, Datuk Kaya Bakti Dr Mohd Radzi Haji Othman serta para pegawai kanan universiti dan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) KUIPs, Prof Emeritus Datuk Dr Kamaruddin Husin.
Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Rektor Universiti Fatoni, Prof Dr Ismail Lutfi diundang menyampaikan ucaptama pada konferens itu.
Sebanyak 80 kertas kerja diterima KUIPs meliputi bahasa Inggeris, bahasa Melayu dan bahasa Arab dengan penyertaan 45 pembentang dan 22 daripadanya adalah dari luar negara iaitu Nigeria, India dan Thailand. Turut diterima tanpa pembentangan ialah kertas-kertas kerja daripada Amerika Syarikat, Libya, Kuwait, Iraq, Mesir dan juga Arab Saudi.
~BERNAMA~