MAIPs STAFF MENU
Please click Log in button above to enter MAIPs staff menu section.
KUALA PERLIS 28 Ogos - Raja Muda Perlis bertitah orang ramai perlu bersedia dengan perkembangan teknologi dan cabaran yang bakal dihadapi.
Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, hal ini menimbulkan kebimbangan kepada generasi kita pada masa akan datang kerana segala bentuk fitnah dan cerita palsu mudah tersebar, terutamanya di laman-laman sosial.
Namun begitu, bagi bertitah, sekiranya semua berpegang teguh kepada sumber-sumber wahyu al-Quran dan sunnah Rasulullah, insya-Allah kita mampu untuk berhadapan dengan cabaran yang akan datang.
“Terdapat banyak ayat al-Quran dan pesanan daripada Baginda Nabi Muhammad yang membawa mesej bertemakan fikiran positif.
“Islam sentiasa menggalakkan umatnya untuk bertindak dan berubah ke arah kebaikan. Melakukan perubahan dalam diri, sekaligus mengangkat kedudukan lebih baik adalah sari pati falsafah agama Islam.
“Sesungguhnya, Allah tidak akan sesekali mengubah untung nasib kita, selagi mana kita sendiri tidak berusaha bertindak mengubahnya, titah baginda.
Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkenan berangkat merasmikan ‘Konferens Pengajian Islam Antarabangsa, Tahun 2019’ bertemakan ‘Isu Sunnah Dalam Menghadapi Cabaran Kontemporari’ yang diadakan di Ballroom Hotel Putra Brasmana Kuala Perlis pagi tadi.
Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Rektor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Datuk Dr. Mohd Radzi Haji Othman serta para pegawai kanan universiti. Turut hadir ialah Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) KUIPs, Prof Emeritus Datuk Dr. Kamaruddin Husin.
Konferens kali pertama diadakan ini adalah anjuran KUIPs dengan kerjasama Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Jabatan Mufti Negeri Perlis, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis dan Universiti Islam Malaysia (UIM).
Baginda yang juga merangkap Tuanku Canselor KUIPs turut menambah bahawa pepatah Melayu ada mengatakan, ‘Ikutlah Resmi Padi, Semakin Berisi, Semakin Menunduk’. Apa yang cuba disampaikan baginda di sini ialah semakin banyak ilmu dan kejayaan yang kita kecapi hari ini perlulah dimanfaat dengan sebaik-baiknya kepada masyarakat, disampaikan kepada masyarakat dengan rasa rendah diri, berhemah, dan menghindari sifat bermegah-megah dalam diri.
“Begitu juga harapan terhadap konferens ini supaya intipati dan ilmu yang disampaikan dapat menjentik sanubari seluruh masyarakat dan sentiasa peka terhadap isu yang dibahaskan,” titah baginda.
Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan Rektor Universiti Fatoni, Prof Dr. Ismail Lutfi diundang menyampaikan ucaptama pada konferens itu.
Untuk rekod, sebanyak 52 kertas kerja dibentangkan (sembilan di dalam bahasa Inggeris, 21 Melayu dan 22 Arab) termasuklah pembentang antarabangsa seramai 22 orang dari Nigeria, Arab Saudi, Singapura, Mesir, India dan Thailand.
Turut diterima tanpa pembentangan ialah kertas-kertas kerja daripada Amerika Syarikat, Libya, KuwIt, Iraq, Mesir dan juga Arab Saudi.
~UTUSAN~