MAIPs STAFF MENU
Please click Log in button above to enter MAIPs staff menu section.
ARAU, 23 Julai 2019 (Selasa) - Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menerima kunjungan sembah mengadap hormat oleh delegasi daripada kepimpinan Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa yang lebih dikenali sebagai ‘Islamic Propagation Society International’ atau dengan nama singkatannya ‘IPSI’ yang diadakan di Galeri DiRaja Arau petang semalam.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor.
Delegasi IPSI yang berpengkalan di Jalan Argyll Pulau Pinang tersebut diketuai oleh Presiden dan Pengasasnya, Haji Kamarudin Abdullah bertujuan bagi terus mengeratkan lagi sillaturahim di antara organisasi mereka dengan Ke Bawah Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda Perlis dan juga pihak MAIPs.
Dalam pertemuan itu, baginda yang juga merangkap Yang DiPertua MAIPs memaklumkan bahawa, MAIPs turut memberikan sumbangan zakat kepada bukan muslim yang hatinya ingin mendekati Islam.
Mohd Nazim menerangkan dengan lebih lanjut bahawa, ini adalah berdasarkan kepada keputusan Fatwa ‘Hukum Pemberian Zakat Kepada Bukan Muslim’ yang telah diputuskan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis Kali Ke-26 / 2017 yang menyebut bahawa zakat kepada bukan Muslim di bawah asnaf ‘Muallafah quluubuhum’ yakni golongan yang ingin diharmonikan sikap dan persepsi mereka terhadap Islam boleh diberikan atas kemaslahatan yang ditentukan oleh ‘ulil amri’.
Tambah beliau lagi, Ini sebagaimana yang telah dilakukan oleh Baginda Rasulullah Salallahualihi Wasallam sendiri kepada golongan yang bukan Muslim dari kalangan musyrikin dan pembesar-pembesar kaum seperti yang tercatat di dalam riwayat-riwayat sirah yang sahih.
Sementara itu sejurus selepas majlis mengadap selesai, delegasi IPSI tersebut mengiringi Tuanku Raja Muda dalam program kayuhan berbasikal MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf’ kali ke 52 bagi tahun 2019 ini sejauh 12km di sekitar pekan Mata Ayer dan kawasan sekitarnya bagi menyampaikan agihan zakat MAIPs kepada 32 orang asnaf terpilih.
Sumber daripada Utusan Online