MAIPs STAFF MENU
Please click Log in button above to enter MAIPs staff menu section.
KANGAR, 22 Julai 2019 (Isnin) - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, One Centre Malaysia Perlis (OCMPs) bertujuan membetulkan sebarang salah faham masyarakat terhadap Islam selain memperkenalkan Islam yang sebenar kepada masyarakat bukan Islam.
Selain itu, titahnya, OCMPs berperanan sebagai ‘penghubung’ kepada perpaduan antara agama dan kaum tanpa mengetepikan prinsip Islam.
"Menjelang tahun 2035, diharapkan OCMPs ini mampu mencapai visinya untuk menjadi peneraju agama Islam secara harmoni dan terunggul di Rantau Asia. OCMPs juga berperanan dalam mempertahan, menyubur, membangun serta menyampaikan imej serta mesej yang baik berkaitan Islam.
(Selain itu) misinya (ialah) untuk melahirkan du’at (pendakwah) yang ikhlas menjalankan aktiviti dakwah kepada masyarakat bukan Islam melalui kaedah yang efektif, kreatif, inovatif serta kritis demi membina jaringan dan kerjasama yang utuh dalam mencapai Maqasid Dakwah berlandaskan al-Quran dan As-Sunnah," titahnya.
Baginda bertitah demikian sewaktu merasmikan bangunan OCMPs di Wisma MAIPs di sini, hari ini.
OCMPs ialah sebuah organisasi yang bernaung di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sejak 2017 dalam menyebarluaskan lagi tentang keindahan Islam kepada masyarakat umum.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah, dalam usaha merealisasikannya, MAIPs turut memberikan sumbangan zakat kepada bukan Muslim yang hatinya ingin mendekati Islam berdasarkan keputusan Fatwa Hukum Pemberian Zakat Kepada Bukan Muslim yang telah diputuskan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis Kali Ke-26/2017.
Fatwa itu membolehkan zakat kepada bukan Muslim di bawah asnaf ‘Muallafah quluubuhum’ (golongan yang ingin diharmonikan sikap dan persepsi mereka terhadap Islam) boleh diberikan atas kemaslahatan yang ditentukan oleh ‘ulil amri’.
Hadir sama pada majlis itu ialah Mufti negeri, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif OCMPs, Zamri Vinoth berkata, OCMPs buat julung kalinya bakal mengadakan himpunan "saudara baru” dari seluruh Malaysia melalui Program Malaysia Reverts Camp Perlis 2019 yang akan diadakan pada 16 hingga 18 Ogos ini dengan tema "Pemerkasaan Dakwah Dalam Masyarakat Kontemporari”.
Program tersebut akan dihadiri lebih 30 penceramah dari dalam dan luar negara dan kebanyakan mereka dari kalangan mualaf dan himpunan ini bakal dicatat dalam ‘Malaysia Books of Records’.
Zamri berkata, dari tahun 2017 hingga 2018, OCMPs telah berjaya mengadakan sebanyak 144 program dakwah seperti dialog harmoni, aktiviti belia remaja, ‘street dakwah’, siri jelajah dakwah, kembara rumah ibadah, ziarah mualaf dan pelbagai aktiviti dakwah lain.
Sumber daripada BERNAMA