MAIPs STAFF MENU
Please click Log in button above to enter MAIPs staff menu section.
KANGAR 16 Julai - Raja Puan Muda Perlis, Mejar (Kehormat) Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menyempurnakan majlis penutupan dan penyampaian hadiah ‘Perlawanan Akhir Bola Sepak Merebut Piala Syed Putra 2019’ yang dilangsungkan di Stadium Kompleks Sukan Tuanku Syed Faizuddin Putra UiTM Cawangan Perlis di Arau petang semalam.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengerusi Kor Rejimen Renjer Diraja (RRD), Mejar Jeneral Datuk Md Din Abu.
Pertandingan Bola Sepak Piala Syed Putra ini merupakan acara tahunan melibatkan semua rejimen di dalam pasukan infantri RRD dari seluruh negara mengambil bahagian.
Pada persaingan tahun ini, pasukan 1 RRD muncul juara menundukkan 2 RRD melalui penentuan sepakan penalti dengan keputusan muktamad 4 gol berbalas 3. Sebelum itu perlawanan terikat dalam masa penuh permainan biasa dengan 1-1 melalui sumbatan gol oleh Mohammad Fazlie Pendi (1 RRD) dan Faizal Laimin (2 RRD)
Pada petang sehari sebelumnya, bagi merebut tempat ke tiga dan ke empat, pasukan 7 RRD (Mekanized) berjaya menewaskan 6 RRD dengan keputusan 4 gol berbalas 2.
Selain bola sepak anjuran Rejimen Renjer DiRaja, hujung minggu yang lalu menyaksikan ribuan atlet bertandang ke negeri Perlis bagi mengambil bahagian di dalam jenis sukan masing-masing yang dianjurkan sempena Sambutan Hari Ulangtahun Keputeraan Tuanku Raja Perlis yang ke 76 pada 17hb Julai yang secara tidak langsung menambah rancakkan lagi promosi sektor industri pelancongan sukan di negeri Perlis ini.
Turut berlangsung ialah ‘Kejohanan Hoki Piala Ketua Polis Negara’ di Stadium Hoki Astroturf Negeri, ‘Royal Golf Celebration 2019’ yang diadakan di Kelab Golf Putra, Sungai Batu Pahat dan juga Kejohanan Ragbi DiRaja Perlis Terbuka 7 Sepasukan (Royal Perlis 7's) 2019” di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra Kangar.