MAIPs STAFF MENU
Please click Log in button above to enter MAIPs staff menu section.
KANGAR 15 Julai - Abi Job RC muncul juara kategori ‘Terbuka’ dalam perlawanan akhir “Kejohanan Ragbi DiRaja Perlis Terbuka 7 Sepasukan (Royal Perlis 7's) 2019” setelah berjaya menumpaskan pasukan Polis Bersatu dengan keputusan 12-5 di Padang B, Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra Kangar petang semalam.
Majlis penutupan dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Penaung kejohanan, Tengku Syarif Laksamana Perlis, Datuk Seri Diraja Syed Razlan Jamalullail.
Turut hadir ialah Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Datuk Shahrul Zaman Yahya yang terus diberi mandat untuk menerajui KRM selepas dipilih sebagai presiden badan induk itu bagi penggal 2019 hingga 2022 pada sehari sebelumnya.
Dalam dua lagi perlawanan akhir yang dilangsungkan bagi kategori ‘Bawah Umur 20 Tahun’, Negeri Sembilan menewaskan Sarawak 22-14 dan kategori ‘Bawah Umur 16 Tahun’ pula, keputusan ialah 10-14 di antara Akademi Ragbi Terengganu (ART) melawan SMK Sultan Yahya Petra.
Kejohanan dari 12 hingga 14 Julai 2019 ini dianjurkan oleh Persatuan Ragbi Perlis dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Perlis bagi memeriahkan lagi Sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan Ke-76 Duli Yang Maha Mulia Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail pada 17hb Julai yang akan datang ini.
Sebanyak 31 buah pasukan bertarung melibatkan 24 pasukan dari luar Perlis dalam tiga kategori berlainan yang dipertandingkan. Beberapa pasukan turut tidak melepaskan peluang untuk menampilkan pemain-pemain dari luar negara khususnya dari Fiji.
Bagi menjadikan kejohanan ini lebih menarik, turut diadakan pada 12hb Julai yang lalu di lokasi yang sama ialah program ‘Get Into Rugby (GIR) 2019’ iaitu program pengenalan dan asas permainan sukan ragbi melibatkan kehadiran ratusan pelajar-pelajar sekolah menengah dan rendah serta tadika di negeri Perlis yang disempurnakan pelancarannya oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Untuk rekod, hujung minggu yang lalu menyaksikan ribuan atlet bertandang ke negeri Perlis bagi mengambil bahagian di dalam jenis sukan masing-masing yang dianjurkan sempena Sambutan Hari Ulangtahun Keputeraan Tuanku Raja Perlis. Selain ragbi, berlangsung juga ‘Kejohanan Hoki Piala Ketua Polis Negara’ di Stadium Hoki Astroturf Negeri dan juga ‘Royal Golf Celebration 2019’ yang diadakan di Kelab Golf Putra, Sungai Batu Pahat.