MAIPs STAFF MENU
Please click Log in button above to enter MAIPs staff menu section.
PADANG BESAR, 9 Julai 2019 (Isnin) - Raja Muda Perlis memberi penghargaan kepada seluruh warga Tentera Darat Malaysia (TDM) yang sentiasa melaksanakan segala kewajipan dengan penuh jujur dan ikhlas.
Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamaullail bertitah, tugas dan tanggungjawab menjaga keamanan dan keselamatan negara sangat mulia dan pengorbanan setiap anggota adalah amat disanjung tinggi oleh setiap lapisan masyarakat dan rakyat jelata.
Baginda bertitah, tahap profesionalisme yang sentiasa membanggakan adalah asas kepada kemakmuran dan kesejahteraan negara dan merupakan dua perkara yang tidak sekali-kali boleh dikompromi.
"Tahap kecemerlangan ini juga harus dikekalkan, malahan hendaklah sentiasa berusaha untuk dipertingkatkan lagi dari semasa ke semasa oleh setiap anggota," titah baginda.
Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menghadiri ‘Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri, Hari Gawai Dan Pesta Kaamatan Warga Tentera Darat Malaysia Negeri Perlis’ yang diadakan di Dewan Serbaguna Markas 30 Briged, Kem Bukit Cowder, Padang Besar baru-baru ini.
Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Mejar Kehormat Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Pegawai Memerintah 4 Rejimen Renjer DiRaja, Lt Kol Farriz Ahmad Nawawi, Timbalan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, Lt Kol Mohamad Zaidi Ishak dan Pegawai Memerintah 6 Skuadron Rejimen Askar Jurutera DiRaja(RAJD), Mej Fairuz Ikmal Yaccub.
Yang turut hadir, Panglima Markas Infantri 30 Briged Tentera Darat Malaysia, Brigadier Jeneral Hassan Embong dan Panglima Briged Keenam Infantri, Brig Jen Haji Mohd Halim Khalid serta ketua-ketua jabatan dan agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan dan hampir 600 orang tetamu yang hadir.
Majlis tambah istimewa, menarik dan berwarna warni apabila setiap tetamu hadir dengan mengenakan pakaian ‘Ala Pendekar’ kaum atau suku bangsa masing-masing.