MAIPs STAFF MENU
Please click Log in button above to enter MAIPs staff menu section.
KANGAR, 3 Julai 2019 (Selasa) - Dalam arus media sosial pada hari ini, wujud budaya perbincangan di dunia maya iaitu ‘komen-komen’ yang ada kalanya agak berlebihan dan tersasar daripada maksud yang sebenar berkemungkinan besar disebabkan kekhilafan dan kurangnya pengetahuan serta ilmu khususnya berkaitan isu-isu yang dianggap ‘panas’ atau kontemporari.
Disebabkan itulah, kita perlulah lebih berhati-hati, tidak terlalu gopoh, memiliki sikap lebih bertanggungjawab dan sentiasa mendalami ilmu agama serta mengelakkan diri daripada memberikan ulasan atau pendapat yang dipenuhi emosi, berbaur perkauman, bahkan menyentuh sensitiviti serta nilai-nilai utama dalam mana-mana agama yang terlibat di dalamnya.
Ia perlu dibendung agar tidak menjadi suatu ‘wabak’ di dalam masyarakat.
Golongan pakar yang terdiri daripada para ilmuwan juga harus memberikan pencerahan berkenaan hala tuju isu-isu ini.
Mudah-mudahan satu bentuk pendekatan terbaik yang mengambil kira situasi dan dinamik masyarakat Malaysia masa kini dapat kita fahami dan hayati bersama.
Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat menyempurnakan majlis pelancaran kempen ‘Op Sifar Cicir Sekolah peringkat SK Paya dan SK Kampung Salang’ yang diadakan di Masjid Al-Ghufran, Batu 2 Lama 97, Km. 5 Jalan Kaki Bukit, Kangar pada petang semalam.
Keberangkatan tiba baginda ke program yang dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Perlis bersama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) itu disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Hj Mohd Nazim Mohd Noor dan Pengerusi Jawatankuasa masjid itu Hj Ramli Jusoh.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Izmi Ismail.
Di program tersebut seramai 150 orang pelajar terpilih dalam kalangan keluarga asnaf kedua-dua sekolah berkenaan beserta 42 lagi dari SMK Tengku Budriah masing-masing menerima sumbangan agihan zakat berjumlah RM600 berjumlah penuh RM115,200 daripada pihak MAIPs.
Sumber daripada Utusan Online