MAIPs STAFF MENU
Please click Log in button above to enter MAIPs staff menu section.
ARAU - Ponteng sekolah seumpama ‘virus’ yang menjadi titik tolak terhadap permulaan salah laku disiplin yang lebih besar lagi seperti pergaulan bebas, peras ugut, buli, vandalisme, gangsterisme, penyalahgunaan najis dadah, mat rempit, ragut serta pelbagai aktiviti tidak bermoral lain yang mampu membinasakan generasi muda, masyarakat, negeri dan negara.
Raja Muda Perlis Tuanku Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, justeru perubahan sikap amatlah penting di mana golongan pelajar perlu sedar kepentingan pendidikan terhadap kerjaya dan masa depan mereka.
Demikian baginda ketika berkenan berangkat menyempurnakan perasmian kempen ‘Op Sifar Cicir Sekolah peringkat SMK Agama Arau, SMK Datuk Sheikh Ahmad, Sekolah Menengah Agama Al Madrasah Al Alawiyah Ad Diniah (SMA Al-Maad) dan SJK(C) Hwa Aik Arau yang diadakan di Masjid An-Nur UiTM Cawangan Perlis di Arau petang semalam.
Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Ketua Bahagian Pembangunan Wakaf Dan Hartanah Mal MAIPs, Mohd Nazri Md Rejab.
Turut hadir ke program yang disekalikan dengan kayuhan ‘MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf’ kali ke 44 bagi tahun 2019 ini ialah Pengarah Pendidikan Negeri Perlis, Izmi Ismail.
Program ini adalah anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Perlis bersama-sama dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Seramai 338 pelajar terpilih dari kalangan keluarga asnaf sekolah berkenaan serta 51 orang pelajar UiTM Perlis yang berasal dari Perlis dan negeri-negeri lain juga masing-masing menerima sumbangan agihan zakat sebanyak RM600 daripada pihak MAIPs bersempena program kali ini.
Bersempena program tersebut juga Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan merasmikan projek peningkatan sosio ekonomi asnaf MAIPs berupa sebuah warung makan yang diusahakan oleh Nurulisma Abdullah Budin, 41 tahun (No Tel: 01118854834) sejak 2015 di No 1 Jalan Teja 2 RPA Arau yang menerima sumbangan MAIPs berjumlah RM3,945 untuk bantuan modal membeli peralatan pada tahun 2018.