MAIPs STAFF MENU
Please click Log in button above to enter MAIPs staff menu section.
SATUN, (THAILAND) 30 Mei 2019 (Khamis) - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail hari ini berkenan berangkat mencemar duli menyantuni anggota keselamatan serta petugas di sempadan Malaysia Thailand di sini yang akan bertugas pada Hari Raya Aidilfitri nanti.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah tanpa pengorbanan mereka mustahil keamanan dapat dinikmati oleh masyarakat di kedua-dua negara terutama menjelang lebaran.
"Anggota keselamatan dan semua penguat kuasa di sempadan seperti polis, imigresen, kastam, Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM) dan lain-lain perlu sentiasa bersemangat, proaktif, berdisiplin dan berintegriti serta komited terhadap tugas yang diamanahkan bagi memastikan sempadan negara utuh dan tidak mudah dicerobohi pihak tidak bertangungjawab, " titah baginda.
Baginda bertitah demikian selepas merasmikan majlis Sumbangan Kuih Raya Aidilfitri 2019 kepada anggota keselamatan dan petugas di sempadan Malaysia-Thailand di Tammalang Satun, di sini, hari ini.
Berangkat sama pada majlis itu ialah Raja Perempuan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Turut hadir, Gabenor Wilayah Satun, Charuwat Kliengklao.
Sebelum itu, Tuanku Syed Faizuddin dan Tuanku Lailatul Shahreen Akashah berkenan berangkat mencemar duli ke program ziarah ihya ramadan di sini demi menjaga hubungan kedua-dua negara khususnya Perlis dan Satun begitu akrab di mana penduduknya memiliki hubungan kekeluargaan sejak dahulu kala.
Keberangkatan tiba baginda berdua disambut meriah oleh kira-kira 20 penduduk Pasir Panjang dan Tanjung Po.
Baginda bersama delegasi Perlis berkunjung ke Masjid Pasir Panjang dan Masjid Tanjung Po bagi menyampaikan bantuan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Isitiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada 12 orang anak yatim dan 30 orang golongan asnaf dewasa.
Sumbangan berupa wang tunai sebanyak 2000 baht (RM263) seorang diberikan sebagai persediaan menghadapi Aldilfitri.
Baginda selaku Yang Dipertua MAIPs, turut meluangkan masa selama sejam menziarahi dua penghuni rumah asnaf di Tanjung Po iaitu Ahmad Md Noh, 74 yang lumpuh dan terlantar sejak dua tahun lalu dan Lah Mud, 70, bekas nelayan yang lumpuh kekal sejak 11 tahun lalu.
Sumber daripada BERNAMA