MAIPs STAFF MENU
Please click Log in button above to enter MAIPs staff menu section.
KANGAR, 25 Mei 2019 (Sabtu) - Tujuh Amanat Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail diharap dapat menjadi ‘asas’ kepada pembentukan hala tuju dan Pelan Strategik Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bagi tahun 2021 hingga 2025 khususnya bersempena usia MAIPs yang akan mencapai 100 tahun pada tahun hadapan iaitu pada tahun 2020.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah mencadangkan agar satu Jawatankuasa ditubuhkan bagi mengukur sejauh mana keberkesanan terhadap pelaksanaan ‘Titah Amanat’ ini supaya ia bukan hanya dijadikan satu ‘laungan’ tapi ia adalah satu penghayatan dan manifestasi hasrat dan keinginan baginda sendiri bagi menyaksikan fahaman Islam yang suci ini benar-benar difahami dan dihayati sebaiknya oleh segenap lapisan masyarakat di negeri Perlis yang dicintai ini.
Pada masa yang sama juga, baginda mahu pihak MAIPs supaya memikirkan usaha-usaha terbaik untuk turut melibatkan lain-lain pihak seperti pemimpin masyarakat di semua peringkat, Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO), persatuan-persatuan dan komuniti-komuniti setempat untuk turut sama mematuhi ‘7 Amanat’ yang ditetapkan ini.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkenan berangkat menghadiri ‘Bengkel 7 Amanat DYMM Tuanku Raja Perlis dan Iftar Jamaie Bersama Agensi-Agensi Agama Islam Negeri Perlis Tahun 2019’ yang diadakan di Ants Hotel Kangar pada malam semalam.
Keberangkatan tiba baginda bersama-sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Mufti Perlis Datuk Arif Perkasa Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Mohd Nazim Mohd Noor.
Antara yang turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Azman Mohd Yusof, Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Prof Ir Datuk Dr Ts Kamarudin Hussin dan Ketua Pegawai Operasi Kobe Precision Technology Sdn Bhd, Norzaman Othman.
Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Yang Dipertua MAIPs turut menegaskan agar semua Jabatan dan Agensi bersama MAIPs hendaklah tanpa rasa berbelah bahagi sentiasa menjunjung ‘Titah Amanat’ ini dan menjadikan isi kandungannya sebagai ‘Garis Panduan’ dalam melaksanakan segala program dan aktiviti Jabatan serta agensi masing-masing.
Untuk rekod, jika dihalusi dan juga diteliti, tujuh amanat ini merangkumi segenap urusan kehidupan rakyat dalam negeri ini bermula dari rakyat biasa sehinggalah kepada para pemimpin negeri. Ia juga merupakan sifat keadilan Islam terhadap kehidupan termasuklah kepada orang Muslim dan yang bukan beragama Islam.
Sumber daripada Utusan Online