MAIPs STAFF MENU
Please click Log in button above to enter MAIPs staff menu section.
TAWAU, 21 Mei 2019 (Selasa) - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah setiap pelajar perlu melengkapkan diri dengan ilmu yang relevan, selain menjadi modal insan yang berdaya saing.
Baginda bertitah, pelajar perlu berfikiran terbuka dan berpandangan jauh ke hadapan dalam usaha menjadi individu yang mempunyai pengetahuan yang luas dan matang.
“Setiap pelajar harus menghindari perkara negatif, selain menggunakan peluang sebaik-baiknya berada di sekolah untuk terus mengasah bakat dan memperbaiki potensi diri.
“Akhirnya, pelajar akan dapat mencipta kecemerlangan dalam pelbagai bidang dan seterusnya menyumbang kepada bangsa, agama, negeri dan negara,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian sempena Program Titian Kasih Mega Tahun 2019 Peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan Titingan, di sini, hari ini.
Pada program itu, baginda turut mencemar duli merasmikan surau sekolah terbabit, selain menanam pokok bunga kertas atau nama saintifiknya Bougainvillea.
Dalam pada itu, baginda juga menzahirkan ucapan penghargaan dan ucapan selamat hari guru kepada warga pendidik dan meminta mereka terus komited serta berdedikasi dalam menghadapi cabaran mendidik anak bangsa.
Sementara itu, Shuhaidi Abu Semam, anak kelahiran Simpang Ampat, Perlis yang mengajar di sekolah terbabit terharu dan gembira dengan kunjungan rombongan Raja Muda itu.
“Saya sudah berkhidmat di sini sejak 1992 dan sebagai guru, saya rasa dihargai apabila baginda Raja Muda Perlis sudi berkunjung ke sekolah kami,” katanya.
Sumber daripada Berita Harian Online