MAIPs STAFF MENU
Please click Log in button above to enter MAIPs staff menu section.
Kota Marudu – Bidang pendidikan kini semakin bergantung pada teknologi digital yang membuka peluang pembelajaran tanpa batasan.
Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa teknologi bukan sekadar alat komunikasi dalam era digital serba canggih, malah platform tersebut menjadi pemangkin kepada transformasi ilmu dan pembentukan jati diri.
Menurut baginda, perkembangan kemajuan teknologi digital dapat memudahkan transformasi ilmu sekali gus membentuk individu yang berdaya saing, berfikiran global dan mempunyai semangat patriotik yang tinggi.
Manfaatkan setiap peluang yang ada untuk memperkaya pengetahuan, mengasah kemahiran dan memberikan sumbangan yang signifikan kepada kemajuan negara.
“Kejujuran, disiplin, hormat-menghormati dan integriti ialah tunjang kepada kejayaan seseorang individu,” titah baginda dalam Program Titian Kasih Mega Tahun 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bengkongan semalam.
Titah baginda lagi, perkembangan teknologi pada masa ini seharusnya digunakan sebagai medium untuk memperkukuh nilai murni dalam kehidupan seharian.
Gunakanlah media sosial dan teknologi dengan berhemah serta penuh tanggungjawab agar platform tersebut menjadi medan yang membawa manfaat dan bukan sebaliknya.
Sementara itu, Pengetua SMK Bengkongan, YBrs. Puan Aina Syafiqah Abdullah memaklumkan bahawa sekolah berkenaan sentiasa berusaha menjadi pusat kecemerlangan ilmu dan sahsiah pelajar menerusi pelbagai pencapaian membanggakan.
Jelas beliau, dalam aspek akademik, keputusan peperiksaan awam yang direkodkan oleh sekolah itu turut menunjukkan peningkatan memberangsangkan pada setiap tahun.
“Sekolah ini bukan sekadar gedung ilmu tetapi juga medan pembentukan generasi pewaris bangsa yang berjiwa patriotik dan berdaya saing,” ujarnya.
Terdahulu, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyempurnakan perasmian dewan di SMK Bengkongan dengan nama Dewan Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Bersempena dengan program tersebut, baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis bersama-sama dengan rakan strategiknya kepada sekolah terbabit.