MAIPs STAFF MENU
Please click Log in button above to enter MAIPs staff menu section.
Ibadan, Nigeria – Pusat Islam Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Ibadan, Nigeria, yang dibina hasil sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kini telah siap sepenuhnya dan mula beroperasi pada jumaat.
Demikian menurut kenyataan MAIPs hari ini.
Pembinaan pusat ini direalisasikan dengan sumbangan RM200,000 daripada MAIPs, yang telah disampaikan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, yang juga merangkap Yang DiPertua MAIPs yang diiringi sama oleh anakanda Baginda iaitu Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail, pada 27 Julai 2024 yang lalu di Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Abuja, Nigeria. Sumbangan tersebut telah diserahkan kepada Yayasan Amal Al Mawaddah yang berpusat di Ibadan, Nigeria, dan diterima oleh Pengerusi Yayasan berkenaan, Dr. Abdulrasheed Olatunji, serta Timbalannya, Alhaj Ridwan.
Pada 7 Februari 2025, pusat Islam tersebut telah mengadakan solat Jumaat pertamanya, dengan khutbah disampaikan oleh Dr. Abdulrasheed Olatunji, pensyarah dari Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail (UniSIRAJ) yang sebelum ini dikenali sebagai Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) yang bernaung sepenuhnya di bawah MAIPs.
Pusat Islam Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dijangka menjadi pusat utama bagi aktiviti keagamaan dan kebajikan di kawasan tersebut. Antara program yang dirancang termasuk dakwah, kursus syariah untuk imam dan pendakwah, program Ramadan, pembinaan telaga, penajaan anak yatim, pengagihan al-Quran, serta pemberian zakat kepada golongan yang memerlukan.
Masyarakat setempat menyambut baik kewujudan pusat ini dan berharap ia dapat terus berkembang sebagai pusat penyebaran ajaran Islam yang murni serta menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuhkan ukhuwah Islamiah di kawasan sekitar tersebut.
Foto : Ihsan MAIPs.
Sumber: Suara Merdeka