MAIPs STAFF MENU
Please click Log in button above to enter MAIPs staff menu section.
Perlis – Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE) memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada peningkatan Gred Purata Nasional (GPN) Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) negeri Perlis pada Mei 2024 dengan peningkatan sebanyak 0.08%, iaitu daripada 4.82 pada tahun 2022 kepada 4.74 pada tahun 2023.
Demikian sembah maklum Pengerusi FCoEE, YBrs. Profesor Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Husin kepada Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam Majlis Apresiasi FCoEE 2024 yang diadakan di Ocean Glow, Putra Brasmana, Kuala Perlis.
Dalam majlis tersebut, Profesor Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Husin menyatakan bahawa penubuhan FCoEE merupakan pemikiran Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Penaung FCoEE yang mempunyai visi dan misi untuk meningkatkan anjakan perubahan dalam sektor pendidikan bagi rakyat negeri Perlis.
Menurut beliau, visi dan misi DYTM Raja Muda Perlis adalah dalam menjadikan FCoEE sebagai sebuah organisasi yang membantu sistem pendidikan sedia ada dengan memberikan nilai tambah, menyokong komuniti pendidikan mampan, mengintegrasikan pendidikan pintar dan tradisional serta menekankan program pendidikan praktikal untuk melahirkan masyarakat Perlis yang berdaya saing dengan kebolehpasaran tinggi.
Ujar beliau, Pembangunan data berkualiti melalui insentif geran penyelidikan dan pengumpulan amalan baik adalah dokumentasi yang penting sebagai data penggerak perancangan strategik bagi negeri Perlis serta FCoEE sendiri. 15 geran penyelidikan telah berjaya mengeluarkan 31 penerbitan jurnal pada tahun 2023 dan penyerahan 36 geran telah diadakan pada pertengahan tahun 2024.
Beliau juga berkata, pelbagai program telah dijalankan termasuk pelbagai program bersiri. Sebanyak 60 program telah dijalankan pada tahun 2022 sehingga 2024 termasuk program-program bersiri seperti Professional Learning Community (PLC) bagi guru-guru, AI & Robotic Educational Club (AiRED), Program Pemangkin Pembangunan Insan Terpilih Madani (PPITM), Program Transformasi Intelek SPM dan Geran Penyelidikan Data Tertumpu Perlis.
Dalam majlis yang sama, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyempurnakan simbolik perasmian majlis apresiasi tersebut dan menyempurnakan pengurniaan sijil dan cenderahati kepada rakan strategik FCoEE, iaitu Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis, Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ), Kerajaan Negeri Perlis, Jabatan Kerja Raya (JKR) Perlis, Institute of Visual Informatics (IVI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Majlis Perbandaran Kangar (MPK).
Selain itu, lima orang individu yang turut menerima pengurniaan dari baginda termasuklah Ahli Jawatankuasa Tabung Amanah FCoEE, Profesor Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Husin, Haji Mohd Nazim Mohd Noor, Halina Abd Wahid, Naharudeen Othman dan Mazlan Zolkifli.
Sementara itu, Raja Puan Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Dr. Hajjah Lailatul Shahreen Akashah turut berkenan menyempurnakan pengurniaan sijil dan cenderahati kepada Penasihat Program FCoEE, Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokera, Datin Noridah Yangman, Dr. Bibi Noraini Mohd Yusof dan Prof. Madya Dr. Rabiah Abdul Kadir serta wakil UniSZA, Datuk Profesor Madya Dr. Mohd Hafiz Yusoff Zaharin Haris dari Pejabat DYMM Tuanku Raja Perlis, Wan Nor Azley Wan Chik dari Jabatan Penyiaran Perlis, Nurul Syahirah Zulkifli dari BERNAMA Perlis, Siew Chin dari Syarikat LK Marketing (M) Sdn. Bhd. dan Zambri Mat dari syarikat Iman Transtour.
Sebagai rekod, program anjuran FCoEE pada tahun 2024 telah melibatkan sebanyak 394 orang guru terlatih, 808 orang pelajar tingkatan empat dan lima, 100 orang pelajar sekolah rendah, 43 orang pelajar yang terdiri daripada golongan asnaf, 336 orang mahasiswa serta 46 orang ibu bapa bagi pelbagai inisiatif oleh FCoEE sepanjang tahun.
FCoEE juga telah menjalinkan kerjasama dengan pelbagai rakan strategik, agensi dan organisasi dalam merangka program akademik kepada pelajar dan guru sekolah di negeri Perlis termasuklah 36 buah program yang memberikan impak besar kepada pencapaian yang membanggakan ini yang menyumbang kepada perkembangan pendidikan di negeri Perlis.
Sumber: Dewan Masyarakat