MAIPs STAFF MENU
Please click Log in button above to enter MAIPs staff menu section.
KANGAR, 30 Disember 2024 – Seluruh warga Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menyampaikan sembah ucapan tahniah dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, sempena Hari Keputeraan Baginda.
Dalam Perhimpunan Mingguan Pekhidmat MAIPs bersama Ketua Pegawai Eksekutif, Mohd Nazim Mohd Noor, pagi ini, beliau menzahirkan rasa syukur dan penghargaan atas kepimpinan cemerlang serta teladan mulia yang ditunjukkan oleh Tuanku Raja Muda sebagai Pengerusi MAIPs.
“Tuanku sentiasa menjadi inspirasi kepada warga MAIPs untuk terus melaksanakan tanggungjawab membantu asnaf dan golongan memerlukan di negeri Perlis. Baginda tidak pernah lelah turun padang menyantuni rakyat, khususnya melalui program-program seperti Kayuhan MAIPs Peduli,” kata Mohd Nazim.
Beliau turut menyatakan bahawa tahun 2024 merupakan tahun yang penuh kejayaan bagi MAIPs, antaranya berjaya mengekalkan sijil bersih selama 12 tahun berturut-turut, menerima Anugerah RCE (Regional Centre of Expertise) daripada United Nations atas usaha berterusan dalam mempromosikan kelestarian pendidikan dan pembangunan mampan di negeri Perlis, serta berjaya disenaraikan dalam pencalonan beberapa anugerah atas pelaksanaan Program Transformasi Diraja di Kampung Warna-Warni.
Kepimpinan cemerlang Tuanku Raja Muda turut mendapat pengiktirafan pelbagai pihak, dan tidak hairan apabila Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, turut menghasilkan sebuah kajian khas berkaitan peranan kepimpinan diraja melalui pengurusan zakat. Kajian ini memberikan pandangan bernas dan memperkukuhkan kefahaman tentang bagaimana institusi diraja mampu menjadi pemangkin dalam memastikan keberkesanan pengurusan zakat untuk meningkatkan taraf hidup rakyat, khususnya golongan asnaf.
Menurut Mohd Nazim, kepimpinan berkesan Tuanku Raja Muda tidak lain adalah hasil didikan dan bimbingan langsung oleh DYMM Tuanku Raja Perlis dan DYMM Tuanku Raja Perempuan Perlis. Baginda berdua telah mencorakkan nilai-nilai keprihatinan, kebijaksanaan, dan kesungguhan untuk sentiasa mendahulukan rakyat.
“Semoga nilai-nilai kepimpinan yang mulia ini terus mengalir dan diwarisi oleh putera-puteri Tuanku Raja Muda dan Raja Puan Muda, menjadi inspirasi kepada generasi akan datang untuk mengekalkan tradisi kecemerlangan dalam memimpin dan membela rakyat,” tambahnya.
Sempena Hari Keputeraan Baginda tahun ini, MAIPs melalui Podcast Salasilah Perlis turut menyediakan satu bingkisan istimewa yang menampilkan Dr. Haji Hazman Hassan, Timbalan Yang DiPertua MAIPs, dan Haji Mohd Nazim Mohd Noor, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs. Mereka akan mengupas tajuk menarik, “Anak Raja Perlis di Persada Dunia: DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail”, yang akan disiarkan pada Selasa, 31 Disember 2024, jam 9.30 malam menerusi FB Live Podcast Salasilah Perlis.
Sempena hari yang penuh bermakna ini, seluruh warga MAIPs turut berdoa agar Tuanku Raja Muda Perlis dikurniakan kesihatan yang baik, umur yang panjang, serta kebijaksanaan untuk terus memimpin negeri Perlis ke arah kecemerlangan.
Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dikenali sebagai seorang Raja Muda yang sangat prihatin terhadap kebajikan rakyat, terutamanya dalam memperkasakan institusi Agama Islam dan pendidikan di negeri ini. Kepimpinan Baginda telah membawa pelbagai perubahan positif dalam usaha MAIPs menjadikan Perlis negeri contoh dalam pengurusan hal ehwal agama Islam.
Selamat menyambut Hari Keputeraan, Tuanku. Dirgahayu Tuanku!