MAIPs STAFF MENU
Please click Log in button above to enter MAIPs staff menu section.
Kangar – Rakyat Perlis diseru agar terus menyokong program perpaduan yang dianjurkan oleh pelbagai pihak demi memastikan hubungan harmoni yang dinikmati hari ini dapat diwarisi oleh generasi akan datang.
Dalam hal ini, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) turut memainkan peranan dengan melaksanakan pelbagai program berbentuk dialog antara agama dengan budaya dari semasa ke semasa di negeri Perlis.
Antara program yang dianjurkan termasuklah program Dialog Harmoni yang melibatkan interaksi antara tokoh agama dengan masyarakat pelbagai kaum, serta inisiatif Street Dakwah yang memberikan penerangan tentang Islam secara santai dan mesra.
Selain itu, MAIPs juga giat memanfaatkan platform digital seperti saluran Perlis Wisdom Channel untuk menyebarluaskan mesej perpaduan dan keharmonian.
Pendekatan ini bukan sahaja cuba untuk mendidik, malah memupuk rasa hormat dan kerjasama yang lebih erat dalam kalangan rakyat pelbagai latar belakang.
“Melalui usaha sebegini, kita berharap mampu melahirkan masyarakat yang lebih bersatu padu dan saling melengkapi, walaupun berbeza agama, budaya atau kepercayaan.”
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat mengetuai program MAIPs Peduli di sekitar Kampung Teluk Jambu, Bintong dekat Kangar, baru-baru ini.
Kayuhan amal yang dianjurkan oleh MAIPs ini bertujuan untuk mengurangkan kadar kemiskinan golongan yang kurang bernasib baik di negeri ini.
Ketua-ketua jabatan dan agensi negeri serta persekutuan turut menyertai kayuhan ini bagi memastikan inisiatif murni ini melibatkan banyak jabatan dan agensi seterusnya memberikan impak.
Tuanku Raja Muda Perlis merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs turut berkenan untuk menyerahkan sumbangan MAIPs kepada asnaf yang terpilih dari Kampung Teluk Jambu.
Setiap mereka menerima Kits MAIPs Peduli, bantuan wang tunai sebanyak RM700 berserta beras fidyah.
Tuanku Syed Faizuddin Putra kemudian turut berkenan berangkat menyempurnakan perasmian The White Houze yang terletak di Jalan Teluk Jambu, Kampung Bintong sebagai tanda sokongan kepada promosi Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025. Rumah inap ini menyediakan enam unit cottage yang lengkap dengan penghawa dingin, tandas, televisyen, kemudahan dapur serta ruang parkir kenderaan yang luas.
Sumber: Dewan Tamadun Islam